
KOTA BHARU: Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) terus memperkukuh persiapan menjelang saingan Liga Super 2025/26 dengan memperkenalkan 10 pemain import baharu bagi memperkuatkan cabaran musim ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Penasihat KTRW FC, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
“Selamat datang ke Liga Super Malaysia dan selamat datang ke Kota Bharu, gelanggang kita sekarang. Saya akan bertemu dengan anda tidak lama lagi,” katanya.
Antara pemain yang diperkenalkan ialah Ifedayo Olusegun, Prince Aggreh, Damyan Damyanov, Hein Htet Aung, Albert Kang, Alexandre Yeoule, Muayad Al Khouli, Simen Lyngbo, Abdul Sesay dan Yusuf Sesay.
Daripada jumlah itu, tiga daripadanya Ifedayo, Aggreh dan Htet Aung yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia musim lalu.
Ifedayo dan Aggreh pernah menyarung jersi PDRM FC, manakala Htet Aung beraksi bersama Negeri Sembilan FC secara pinjaman daripada Selangor FC.
Menurut kenyataan rasmi kelab, penjaga gol Bulgaria, Damyanov yang juga produk akademi Ludogorets, dijangka memberi saingan kepada Azfar Arif dan Fikri Che Soh bagi posisi penjaga gol utama.
“Kami memberi perhatian besar terhadap aspek pertahanan selepas dibolosi 82 gol dalam liga musim lalu,” jelas pihak pengurusan KTRW FC.
Alexandre Yeoule dan Muayad Al Khouli dibawa masuk untuk mengukuhkan benteng pertahanan tengah, sementara Simen Lyngbo dan Yusuf Sesay ditugaskan di pelbagai posisi pertahanan.
Sementara itu, Abdul Sesay diharap dapat mengetuai barisan serangan bagi mengembalikan bisa The Real Warriors musim ini.
“Pasukan kini dalam fasa akhir persiapan dan kehadiran pemain import ini diyakini mampu memberikan impak besar,” menurut satu lagi kenyataan oleh KTRW FC.
Difahamkan beberapa pemain import baharu tersebut telah tiba di Kota Bharu berdasarkan perkongsian gambar yang dimuat naik oleh pengurusan pasukan. – HARAKAHDAILY 16/7/2025











