Pemuda PAS Perlis beri anugerah buat usahawan muda

- Advertisement -

KANGAR: Seorang usahawan muda tempatan, Muhammad Zuhairi Ikhwan Azmi, telah menerima Anugerah Saidina Abdul Rahman Bin Auf sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis yang berlangsung di Kompleks Tarbiyah PAS Negeri (KOMPAS), Ahad lalu.

- Advertisement -

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohd Hafez Sabri sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan beliau membangunkan rangkaian perniagaan ayam goreng tempatan, Kimie Z Fried Chicken.

Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun berkata, anugerah tersebut merupakan simbol penghargaan kepada anak muda yang gigih dalam keusahawanan dan memberi impak positif kepada ekonomi negeri.

“Pemuda PAS Perlis sentiasa menghargai dan mengiktiraf usaha-usaha anak muda yang bukan sahaja menjana pendapatan sendiri, tetapi turut membantu keluarga serta membuka peluang pekerjaan seterusnya memacu ekonomi negeri,” katanya.

Kimie Z, di bawah syarikat Kimiez Empires Sdn Bhd, bermula pada 2015 oleh dua beradik di pasar malam, kini berkembang dengan 12 cawangan dan trak makanan serta telah melebarkan operasi ke beberapa negeri lain.

Turut menerima penganugerahan Anugerah Jasamu Dikenang dalam majlis sama ialah Ketua Sektor Pendidikan Pemuda, Mustaqim Abdullah dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Mohd Azizi Syam Shamsudin.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pula diberikan kepada Nor Syafizi Ruslida (Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis, Irzan Ashraf Abd Aziz ( Alternative Riding Club), Mohd Suhairi Ghazali (Sekolah Rendah Intergrasi Islam) dan Rossitah Othman, (Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam Wardatul Jannah).

Majlis ini turut menjadi pembuka tirai kepada Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis 2025. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -