Bakti Siswa Perdana Kedah 2025 sasar lebih ramai peserta

- Advertisement -

ALOR SETAR: Program Bakti Siswa Perdana Peringkat Negeri Kedah 2025 mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 300 mahasiswa anak Kedah telah mendaftar pada hari pertama pembukaan pendaftaran semalam.

- Advertisement -

Program yang diterajui oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah itu bakal menghimpunkan seramai 1,500 mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Ia dijadual berlangsung pada 27 Ogos hingga 2 September 2025 dan akan dilaksanakan serentak di kesemua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri Kedah.

Menurut Dr Haim Hilman, program ini diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun lalu dengan penyertaan 500 mahasiswa melibatkan 13 DUN.

Melihat kepada sambutan sangat positif dan impak besar diberikan kepada masyarakat, pihaknya mengambil langkah memperluaskan pelaksanaan program ke seluruh 36 DUN dengan sasaran penyertaan tiga kali ganda lebih besar.

“Kita mula laksanakan program ini tahun lepas dengan hanya 500 peserta. Tahun ini kita buka kepada semua DUN di Kedah dengan sasaran 1,500 peserta.

“Sambutan awal pun sangat menggalakkan, lebih 300 telah mendaftar dalam tempoh sehari,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, program ini merupakan platform terbaik bagi mahasiswa menyumbang kembali kepada negeri tercinta melalui pelbagai aktiviti pembangunan dan khidmat masyarakat.

“Ini peluang keemasan untuk mahasiswa anak Kedah menyumbang tenaga dan idea kepada komuniti kampung halaman mereka, sambil mengasah kemahiran sosial, komunikasi dan kepimpinan dalam suasana sebenar di lapangan,” ujarnya.

Tambah beliau, antara pengisian utama program ialah pelaksanaan program anak angkat terbesar peringkat negeri Kedah, selain aktiviti pembangunan ekonomi, pendidikan dan kebajikan masyarakat.

“Para peserta juga akan turut serta dalam sambutan Hari Kebangsaan peringkat kampung, karnival kampung sejahtera serta kenduri rakyat bersama masyarakat setempat,” ujarnya.

Majlis pelancaran rasmi program ini akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang sekali gus akan menyuntik semangat kepada para peserta untuk terus komited dalam menyumbang kepada negeri dan masyarakat.

Setiap peserta yang terpilih akan menerima t-shirt rasmi program, sijil penyertaan eksklusif serta pelbagai kemudahan sepanjang program berlangsung.

Pendaftaran kini telah dibuka dan akan ditutup sebaik sahaja kuota 1,500 peserta dipenuhi.

Penyertaan terbuka kepada anak jati Kedah yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia, sihat tubuh badan dan mampu memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh program.

“Jangan tunggu lama-lama. Tempat sangat terhad. Sertai program ini dan jadilah sebahagian daripada generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -