
KUALA SELANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan mendesak agar kerja-kerja pembersihan di Sungai Buloh, Ijok dijalankan segera susulan kewujudan ‘pulau sampah’ yang semakin membimbangkan di tengah sungai tersebut.
Beliau mendedahkan keadaan sungai yang cetek, air berwarna hitam dan berbau busuk, selain timbunan sampah yang membentuk seperti bukit besar sehingga boleh dipijak dan dilalui manusia ketika meninjau lokasi di jambatan besi, Jalan Abdul Aziz, di sini.
“Petang tadi saya turun sendiri ke lokasi di Sungai Buloh, Ijok dan menyaksikan sendiri bukit atau pulau sampah yang terbentuk di tengah-tengah sungai, cukup besar sehingga saya sendiri boleh pijak dan berjalan ke tengah sungai itu.
“Sebelum ini, alasan yang sering diberi ialah air deras dan tinggi menyukarkan kerja-kerja pembersihan. Tapi hari ini, air sudah surut, berwarna hitam dan berbau busuk, maka tiada alasan lagi untuk tangguh kerja-kerja pembersihan ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Isnin.
Beliau berkata, sebelum ini pihak kontraktor Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 1 sering memberi alasan bahawa aliran air deras menyukarkan kerja-kerja pembersihan.
“Selalu pihak kontraktor memberi alasan kepada kami bila nak bersihkan kawasan pulau di tengah ini. Alasan mereka hujan dan air naik, tapi dah berminggu-minggu dekat Ijok ini tak menerima hujan. Kita masih melihat pulau yang berada kat tengah-tengah.
“Inilah masanya kalau nak korek pun, jangan jadikan alasan esok atau dua minggu depan mungkin hujan dan menyebabkan kerja-kerja tertangguh lagi,” katanya.
Tambahnya, alasan sama yang diulang-ulang setiap kali tidak lagi boleh diterima oleh rakyat.
“Kami penduduk Ijok sudah letih dengar alasan yang sama berulang kali. Sungai ini perlu dibersihkan demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tempoh lanjutan masa (EOT) bagi projek RTB ini hanya berbaki 22 hari sahaja, sebelum tamat pada 4 Ogos 2025.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak kontraktor segera bertindak dengan pemantauan rapi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tanpa menunggu hujan atau sebarang faktor luar dijadikan helah baharu. – HARAKAHDAILY 15/7/2025











