Lantik Nick Adams cemar nilai Islam, budaya Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar Negara PAS Pusat menggesa kerajaan agar menolak cadangan pelantikan individu kontroversi, Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke negara ini.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai hak penuh untuk menolak mana-mana wakil diplomatik asing seperti diperuntukkan Artikel 4(1) Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

“Ini bermaksud, Malaysia tidak terikat untuk memberikan sebarang penjelasan kepada Amerika Syarikat sekiranya memutuskan untuk menolak pelantikan Nick Adams sebagai duta. Artikel ini memberikan kuasa penuh kepada negara penerima untuk menentukan kesesuaian seseorang calon duta asing.

“Nick Adams merupakan individu yang telah membuat pelbagai kenyataan kontroversial dan melampau, termasuk kenyataan bersifat perkauman, anti-Islam, seksis, dan tidak menghormati perjuangan rakyat tertindas.

“Beliau pernah secara terbuka menyatakan kebanggaan kerana menyebabkan seorang pelayan dipecat hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’, serta mempromosikan budaya hiburan yang menjatuhkan maruah wanita,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk Terengganu itu, pelantikan tersebut jelas bercanggah dengan nilai-nilai Islam sebagai agama Persekutuan, adat budaya ketimuran, serta sensitiviti masyarakat majmuk Malaysia.

“Pelantikan ini seolah-olah satu penghinaan kepada Malaysia apabila seorang individu yang tiada latar belakang mahupun pengalaman dalam urusan diplomatik dihantar untuk mewakili sebuah kuasa besar ke negara kita.

“Pelantikan individu seperti ini bukan sahaja mengganggu sensitiviti masyarakat, tetapi juga berisiko merosakkan hubungan dua hala yang telah terjalin sekian lama antara Malaysia dan Amerika Syarikat,” tegasnya.

Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menolak cadangan pelantikan itu demi menjaga keharmonian nasional, maruah negara dan prinsip kedaulatan dalam hubungan antarabangsa.

“Kami berharap Kerajaan Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip diplomasi yang berteraskan kesopanan, hormat-menghormati, serta kebijaksanaan dalam mempertahankan kedaulatan negara ini,” katanya.

Adams yang merupakan seorang warga Australia-Amerika dan penulis mengumumkan pencalonan itu menerusi satu video di media sosial minggu lalu sambil menyifatkannya sebagai satu penghormatan seumur hidup. – HARAKAHDAILY 15/7/2025

- Advertisement -