Perkenan tubuh Pejabat Arkib Negara di Perlis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyambut baik dan mengalu-alukan hasrat Arkib Negara Malaysia untuk menubuhkan sebuah pejabat tetap di negeri Perlis.

- Advertisement -

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan Arkib Negara dalam memelihara warisan sejarah negara, khususnya yang melibatkan negeri Perlis.

Sukacita baginda itu dizahirkan ketika berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat agensi itu di Jalan Tuanku Abdul Halim, semalam.

Lawatan rasmi itu disambut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid serta Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut serta ialah cucunda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Perkara tersebut dilaporkan menerusi satu kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Delegasi negeri Perlis turut disertai oleh Mufti Negeri, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Timbalan Yang Dipertua MAIPs, Ustaz Dr Hazman Hassan serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor.

Arkib Negara Malaysia, yang ditubuhkan pada tahun 1957 sebagai Pejabat Rekod Awam, kini beroperasi di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara sejak 2022.

Agensi ini memainkan peranan utama dalam pengurusan rekod awam, pentadbiran arkib serta penyeliaan arkib memorial negara.

Setakat ini, sebanyak 11,670 rekod berkaitan negeri Perlis telah didaftarkan dan disimpan oleh Arkib Negara, termasuk dokumen berharga yang melibatkan adat istiadat Melayu.

Dalam sesi taklimat kepada Baginda, Ketua Pengarah Arkib Negara turut memaklumkan perancangan agensi itu untuk menubuhkan Majlis Sejarawan Negara sebagai salah satu inisiatif memperkukuh pengumpulan dan pemeliharaan khazanah sejarah negara.

Tuanku Syed Sirajuddin meluangkan masa hampir tiga jam dalam lawatan tersebut, termasuk mendengar taklimat khas mengenai koleksi utama berkaitan negeri Perlis yang disimpan oleh Arkib Negara.

Lawatan ini melakar satu lagi detik penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara Arkib Negara dan Negeri Perlis, khususnya dalam aspek dokumentasi sejarah dan pelestarian warisan bangsa untuk tatapan generasi masa hadapan.

Untuk rekod, cadangan awal penubuhan pejabat Arkib Negara di Perlis telah diutarakan oleh Tuanku Raja Muda Perlis dalam satu majlis rasmi di Ibu Negara pada Disember 2023. – HARAKAHDAILY 15/7/2025

- Advertisement -