
KUALA LUMPUR: Pencalonan Nick Adams yang yang mempunyai rekod kenyataan seksis dan pendirian pro-Israel melampau sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia adalah amat membimbangkan dan tidak boleh diterima sama sekali.
Ketua Portfolio Luar Negeri Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pencalonan itu perlu dilihat dalam konteks pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang sebelum ini menaikkan tarif ke atas eksport Malaysia.
“Masa dan sifat kedua-dua keputusan ini mencerminkan tindakan yang disengajakan terhadap Kerajaan Malaysia dan menandakan kurangnya rasa hormat terhadap kedaulatan serta maruah diplomatik negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, kerajaan perlu menolak pencalonan Adams seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961, memandangkan kecenderungan ideologi dan rekod buruk calon tersebut.
“Malaysia, sebagai sebuah negara berdaulat, berhak sepenuhnya untuk menolak mana-mana calon duta yang dilihat boleh menjejaskan hubungan dua hala atau bertentangan dengan nilai serta kepentingan nasional,” tegasnya.
Justeru, beliau menggesa Kementerian Luar Negeri untuk segera mengeluarkan nota diplomatik bantahan kepada Kerajaan AS bagi menyatakan penolakan terhadap pencalonan tersebut.
“Kegagalan untuk bertindak tegas akan memberikan gambaran buruk terhadap komitmen pentadbiran Madani dalam mempertahankan maruah negara dan kebebasan dasar luar kita.
“Malaysia tidak boleh berdiam diri terhadap penghinaan seperti ini. Maruah negara kita mesti dipertahankan,” katanya.
Trump baru-baru ini dilaporkan melantik Adams yang merupakan seorang pengulas konservatif dan penulis ke jawatan berkenaan, sambil menyifatkan individu itu sebagai seorang nasionalis luar biasa. – HARAKAHDAILY 15/7/2025











