
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menyeru agar Malaysia mengambil peranan kepimpinan serantau dalam menangani krisis pencemaran plastik yang mengancam kesihatan awam serta kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata, pencemaran plastik bukan lagi isu sisa domestik semata-mata, tetapi turut melibatkan kesan kimia berbahaya, perubahan iklim serta pencabulan hak komuniti yang terjejas.
“Plastik bukan sekadar ancaman di akhir hayatnya apabila dibuang akan tetapi apabila ia tidak diuruskan dengan baik dibuang akan menjadi mikroplastik.
“Ia juga bermula dari proses pengeluaran plastik yang berasaskan petrokimia menyumbang kepada perubahan iklim dan menjejaskan kesihatan komuniti yang tinggal berhampiran kilang petrokimia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, kegunaan bahan kimia berbahaya dalam pembuatan plastik tanpa kawalan amat membimbangkan.
“Banyak kertas penyelidikan menunjukkan bahawa bahan kimia dalam plastik boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia terutama kanak-kanak. Negara-negara maju pula terus menghantar sisa plastik ke Asia Tenggara untuk dikitar semula.
“Namun, banyak daripadanya tidak boleh dikitar dan dibuang secara haram atau dibakar yang mengakibatkan pencemaran yang serius,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat.
Beliau turut menekankan bahawa krisis plastik adalah sebahagian daripada ‘Triple Planetary Crisis’ iaitu pencemaran, kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim yang menuntut penyelesaian sistemik dan menyeluruh.
“Ia juga menimbulkan persoalan asas bahawa siapa yang harus membiayai, melaksanakan dan menguatkuasakan dasar-dasar berkaitan plastik? Apakah kandungan sebenar bahan kimia dalam plastik dan kesannya terhadap kesihatan serta alam sekitar?
“Mengapa solusi huluan seperti pengutipan dan pengurusan sampah yang diutamakan sedangkan solusi hiliran seperti pengurangan plastik dari peringkat rekaan produk masih diabaikan?” katanya.
Beliau berkata, perkongsian dari ahli Parlimen negara jiran mendedahkan pendekatan yang boleh diadaptasi di Malaysia dari sudut polisi dan undang-undang seperti undang-undang kawalan ke atas pengeluaran dan penggunaan plastik sekali guna.
“Kegunaan plastik yang tidak terkawal di peringkat global dijangka menjadi lebih buruk pada masa akan datang, maka Perundingan Perjanjian Plastik Global adalah peluang penting.
“Hal demikian untuk menggubal garis panduan global yang jelas dan berkesan bagi melindungi kehidupan di bumi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang Selangor.
Beliau turut menyuarakan keprihatinan terhadap kekurangan tindakan terhadap reka bentuk produk yang mesra alam dengan tumpuan masih banyak diberikan kepada langkah hiliran seperti pengumpulan dan pelupusan sisa.
“Sudah tiba masanya Malaysia memainkan peranan kepimpinan serantau. Sebagai Pengerusi ASEAN, saya menyeru agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri membimbing negara-negara Asia Tenggara.
“(Iaitu) untuk tampil dengan suara yang tegas dan aspiratif dalam rundingan Perjanjian Plastik Global (INC-5.2) di Geneva pada 5 hingga 14 Ogos ini. Kita mesti mengetatkan undang-undang, memperkukuh penguatkuasaan dan meningkatkan kerjasama.
“(Iaitu) antara agensi dalam dan luar negara untuk menghentikan penyeludupan sisa plastik, elektronik dan bahan buangan berbahaya lain dari negara maju,” katanya.
Beliau berkata, perkongsian maklumat antara agensi penguatkuasaan di dalam negara ASEAN amat penting.
“Melindungi kesihatan rakyat dan alam sekitar daripada krisis plastik bukan lagi pilihan, malah ia adalah satu keperluan mendesak yang memerlukan tindakan menyeluruh, berani dan berpandangan jauh,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/2025











