SG4 perkasa hala tuju lima sektor modal insan

Pendidikan, wanita, kebajikan, belia dan syariah

- Advertisement -

BANGI: Bidang tugas di bawah Kluster Pendidikan dan Modal Insan Kerajaan Negeri Empat (SG4) dipertingkatkan lima tumpuan perancangan hala tuju strategik, kata Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

- Advertisement -

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan itu berkata, bukan hanya terhad sektor pendidikan, malah turut meliputi wanita, kebajikan, belia dan pemerkasaan syariah.

Beliau berkata, perkongsian pandangan antara empat negeri, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dijangka menjana hasil yang memberangsangkan seperti pelaksanaan Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS).

“Hasil perbincangan dijangka memberi manfaat secara langsung kepada pelajar, antaranya peningkatan kualiti pendidikan, pembinaan sahsiah serta ekosistem pembelajaran yang lebih kondusif.

“Semoga usaha ini menjadi asas kepada dasar yang lebih menyeluruh, menyatukan kekuatan setiap negeri dan memberi impak berkekalan kepada pembangunan ummah dan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Bengkel Pelan Strategik Kluster Pendidikan dan Modal Insan anjuran Kluster Pendidikan dan Modal Insan SG4 di salah sebuah hotel, di sini pada Ahad.

Turut hadir wakil Kedah Dato’ Mohd Azam Abdul Samat dan Muhammad Radhi Mat Din; Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dan Maliaman Kassim dan Perlis diketuai Muhammad Azmir Azizan.

Kelihatan hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras dan tokoh pendidikan, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dan Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Nor Asilah Mohamed Zin.

Wan Roslan yang juga ADUN Pengkalan Kubor berkata, bengkel anjuran Kluster Pendidikan dan Modal Insan SG4 itu dikelola oleh Institut Latihan Darul Naim (ILDAN).

Pelaksanaan TRS bermula tahun lalu khususnya di Kelantan memperlihatkan keputusan memberangsangkan, malah kerajaan negeri mengumumkan beberapa pembaharuan termasuk menambah jumlah peruntukan.

Kerajaan negeri melancarkan TRS 2.0 dengan peruntukan sebanyak RM675,000 melalui Program Kecemerlangan Peperiksaan membabitkan seramai 2,700 pelajar dari seluruh 45 DUN di negeri itu.

Menerusi pengumuman itu setiap DUN menerima RM15,000 berbanding RM10,000 pada tahun lepas, sementara jumlah pelajar turut meningkat dari 30 kepada 60 calon yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini.

Kelas TRS 2.0 dijadualkan bermula 11 Julai hingga 30 Ogos 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, dengan memberi tumpuan kepada subjek teras SPM: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah. – HARAKAHDAILY 15/7/2025

- Advertisement -