‘Family event’ tarik minat pelancong ke Kelantan

Kamaruddin Md Nor
- Advertisement -

KOTA BHARU: Penganjuran Kejohanan Golf Terbuka Amatur Kelantan ke-48 di Kelantan Golf & Country Club (KGCC), Pengkalan Chepa bukan sekadar acara sukan, bahkan menjadi platform mempromosi pelancongan dan budaya negeri secara menyeluruh.

- Advertisement -

Dato’ Kamaruddin Md Nor berkata, kejohanan tersebut memberi kelainan apabila turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan bagi menarik penyertaan dan kehadiran keluarga peserta.

Menurut beliau, selain bermain golf, peserta turut berpeluang mengenali seni budaya negeri seperti pembuatan wau dan batik turut disediakan untuk keluarga yang hadir agar mereka tidak bosan menunggu sepanjang kejohanan.

“Kita tidak mahu golongan keluarga yang hadir hanya duduk menunggu. Maka kita selitkan aktiviti kebudayaan dan perkenalkan konsep ‘family event’.

“Ia menjadikan kejohanan ini lebih inklusif dan meriah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri itu kepada media dalam sidang akhbar di KGCC.

Tambahnya, penganjuran kejohanan ini secara tidak langsung membantu mempromosi Kelantan sebagai destinasi pelancongan, khususnya kepada rakyat dari luar negeri dan peserta antarabangsa.

“Saya dimaklumkan terdapat penyertaan dari peserta luar negara termasuk dari Taiwan. Kita berharap mereka akan tinggal lebih lama di sini dan pada masa yang sama menikmati makanan dan budaya tempatan,” katanya.

Beliau turut menegaskan pengenalan pelbagai juadah seperti nasi kerabu yang kini terkenal hingga ke peringkat antarabangsa perlu dikaitkan semula dengan asal-usulnya dari Kelantan.

“Nasi kerabu dikenali dunia, tetapi ramai tidak tahu ia berasal dari Kelantan. Di Dubai pun ada nasi kerabu, tapi disebut berasal dari Malaysia, tak disebut dari negeri kita. Kita kena promosikan bahawa Kelantan adalah tempat asal nasi kerabu,” katanya.

Dato’ Kamaruddin turut menghargai sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat dan individu tempatan yang dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha mempromosi sukan dan negeri.

“Hadiah istimewa seperti kereta untuk juara menunjukkan betapa seriusnya pihak penganjur dan penaja dalam menjayakan kejohanan ini. Ia satu bentuk publisiti dan promosi yang amat bermakna,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap acara golf dapat dimasukkan dalam senarai sukan yang dipertandingkan sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028, dan Kelantan Golf & Country Club dapat menjadi salah satu venue rasmi pertandingan tersebut.

Katanya, ekoran daripada itu KGCC bakal menjadi lokasi yang lebih popular dan tumpuan utama di Kelantan, khususnya dalam bidang sukan golf dan pelancongan.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Timbalan Presiden Kelantan Golf & Country Club, Ahmad Rifaah Mohamed dan Setiausaha Kehormatnya, Hazwan Hassan. – HARAKAHDAILY 15/7/2025

- Advertisement -