
KOTA BHARU: Bola sepak sememangnya menjadi sebahagian daripada rutin harian dan kegilaan rakyat Kelantan sehingga tidak hairan jika penyokong di negeri ini dianggap antara yang paling fanatik dalam dunia bola sepak tempatan.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, tahap kefanatikan penyokong pasukan Kelantan masih terkawal kerana mereka merasakan ia berbaloi dan penuh hiburan.
“Dulu pernah tular fenomena penyokong The Red Warriors menunaikan solat sebelum perlawanan bermula. Ia masih berlaku terutama ketika program-program besar dianjurkan di padang terbuka.
“Inilah yang ingin dicapai oleh Kerajaan Negeri melalui dasar “Membangun Bersama Islam”, rakyat bebas berhibur dan bersukan, asalkan mematuhi suruhan dan larangan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan perlawanan akhir Liga Elit DUN Bunut Payong antara Pasir Kota FC dan Lundang FC di Stadium Sultan Muhammad Keempat.
DUN Bunut Payong menjadi DUN pertama menamatkan saingan Liga Elit DUN yang dianjurkan oleh Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (UBeS).

Pasir Kota FC berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu apabila menewaskan Lundang FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan hingga tamat perlawanan.
Pengurus Pasir Kota FC, Wan Hafiz Wan Yahya melahirkan rasa puas hati terhadap prestasi pemainnya walaupun dua tonggak utama tidak dapat diturunkan pada malam perlawanan.
“Terima kasih kepada ADUN Bunut Payong atas sokongan berterusan kepada program pembangunan anak muda,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Pasir Kota FC, Zulkifli Husin menyeru semua pemain agar terus meningkatkan mutu permainan dan menjaga kekuatan mental.
“Tahniah juga kepada Lundang FC yang bermain dengan baik dan memberikan tentangan sengit sehingga kejuaraan terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti,” ujarnya.
Sebagai juara LED Bunut Payong, Pasir Kota FC membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala kejuaraan, piala iringan dan pingat.
Naib juara, Lundang FC menerima RM1,500 manakala dua pasukan di tempat ketiga bersama iaitu Bunut Payong FC dan Batu Dua FC masing-masing menerima RM1,000.
Turut hadir, Pengarah Pusat Khidmat DUN Bunut Payong, Nasruddin Mahmud Muhaidin dan wakil Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Nazrul Zakaria. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











