
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menyindir pengumuman besar yang bakal dibuat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya sebagai penghargaan kepada rakyat.
Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengingatkan agar rakyat tidak mudah termakan janji manis menjelang pilihan raya.
Ustaz Idris memetik pesanan Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyarankan rakyat menerima pemberian kerajaan, namun tetap mengundi berdasarkan prinsip dan keyakinan.
“Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pesan.. bagi pitih (duit) ambik (ambil). Bagi gula kaca (kacau). Bagi kain paka (pakai). Pakah bule (pangkah bulan),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, rakyat Kelantan telah lama mengamalkan petua tersebut dan sebab itu kekal teguh menyokong perjuangan Islam di bawah PAS selama lebih 35 tahun.
“Saya yakin rakyat Malaysia pun akan pakai pesanan Tuan Guru Nik Aziz. Janjilah macam mana pun, tuntutan mereka satu saja iaitu TST (tahu sama tahu),” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat untuk bersedia menghadiri Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur sebagai isyarat kebangkitan rakyat terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.
Terdahulu, Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau akan membuat satu pengumuman besar sebagai penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia.
Tidak dijelaskan secara terperinci mengenai pengumuman tersebut, namun hantaran ringkas itu turut meletakkan tanda pagar ‘Malaysia Madani’ dan ‘Bersama Malaysiaku’.
Pada Isnin, Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengadakan perjumpaan tertutup bagi membincangkan beberapa isu termasuk persediaan parti untuk sidang Parlimen yang akan datang.
Pertemuan berkenaan merupakan kesinambungan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diadakan pada Jumaat lalu. – HARAKAHDAILY 15/7/2025











