Umum sahaja tidak perlu suspen atau keterujaan palsu

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pengarah Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff menegur amalan segelintir menteri atau pimpinan kerajaan yang gemar mengumumkan sesuatu dasar dengan cara yang penuh ‘suspens’ seperti filem aksi.

- Advertisement -

Beliau berkata, pengumuman berkaitan agenda kerajaan sepatutnya dibuat secara terus dan jelas kepada rakyat tanpa perlu membina jangkaan berlebihan yang akhirnya mengecewakan.

“Saya tidak faham kenapa perlu ada unsur ‘suspen’, macam trailer filem aksi untuk mengumumkan agenda kerajaan. Umum sajalah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Yusfarizal memberi contoh jika benar kerajaan mahu mengumumkan sesuatu yang besar, ia perlu dinyatakan dengan terus-terang seperti cadangan pendidikan percuma dari peringkat pra-sekolah ke universiti.

“Kalau mahu ‘suspen’ sangat, beritahulah tentang perkara apa. Contoh, kerajaan sedang di peringkat akhir memutuskan pendidikan percuma untuk semua peringkat dari pra-sekolah ke universiti.

“Ia akan diumumkan dalam jangka masa dua bulan lagi. Atau tidak perlu umum langsung. Buat sahaja,” katanya yang juga seorang pengamal undang-undang.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan fokus kepada tindakan berbanding mencipta keterujaan palsu yang boleh membawa dua reaksi iaitu; rakyat terlalu berharap tetapi kecewa atau rakyat langsung tidak percaya dari awal.

“Bayangkan, satu hari kita bangun pagi, naik kereta ke pejabat, singgah isi minyak, sambil melayan video promo PETRONAS dekat televisyen kecil dekat pam minyak tu, terpandang bahagian harga? Huh? Minyak dah turun? Betul ker ni?” katanya.

Beliau berkata, tular pujian kepada kerajaan hanya sekejap sahaja, tetapi jika kerajaan membuat ‘suspen’ tidak tentu pasal akan ada dua penerimaan iaitu percaya sungguh dan anggap benda betul-betul besar akan berlaku.

“Kedua, langsung tak percaya. Golongan pertama akan mengharap dan akan kecewa kalau pengumuman itu akhirnya suam suam kuku sahaja. Contoh kerajaan akan hapuskan cukai semua buah-buahan import.

“Golongan kedua memang akan cakap ‘aku dah cakap dah’. Jadi apa faedahnya unsur ‘suspen’ ini? Mungkin Menteri tahu jawapannya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau akan membuat satu pengumuman besar sebagai penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia.

Tidak dijelaskan secara terperinci mengenai pengumuman tersebut, namun hantaran ringkas itu turut meletakkan tanda pagar ‘Malaysia Madani’ dan ‘Bersama Malaysiaku’.

Pada Isnin, Perdana Menteri dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengadakan perjumpaan tertutup bagi membincangkan beberapa isu termasuk persediaan parti untuk sidang Parlimen yang akan datang.

Pertemuan berkenaan merupakan kesinambungan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diadakan pada Jumaat lalu. – HARAKAHDAILY 15/7/2025

- Advertisement -