Tarif AS: Satu lagi diplomasi ekonomi kerajaan gagal

Mohammad Azamuddin Sahar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyifatkan kerajaan gagal dalam rundingan ekonomi dengan Amerika Syarikat (AS) susulan pengumuman tarif baharu oleh White House yang dijangka mula berkuat kuasa Ogos ini.

- Advertisement -

Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, lawatan pemimpin kerajaan sebelum ini ternyata gagal mencapai hasil yang membanggakan, malah membebankan rakyat.

“Kadar baharu ini bukan sahaja tidak menunjukkan sebarang pengurangan, bahkan meningkat lebih tinggi berbanding kadar 24 peratus yang diumumkan ketika era Presiden AS, Donald Trump pada April lalu.

“Pengumuman ini menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan lawatan kerajaan Malaysia ke AS beberapa bulan yang lalu.

“Lawatan yang kononnya bertujuan untuk berunding dan meraih konsensus bagi mengurangkan beban tarif terhadap Malaysia, kini jelas tidak membawa sebarang hasil yang membanggakan.

“Sebaliknya, rakyat menyaksikan satu lagi kegagalan diplomasi ekonomi kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, rakyat kini semakin sinis dan melihat lawatan tersebut sebagai makan angin semata-mata, memandangkan bukan sahaja tiada penurunan tarif berjaya dicapai, bahkan beban terhadap negara semakin bertambah.

“Tidak hairanlah apabila rakyat mula sinis kononnya pemimpin ke Amerika hanya ‘makan angin’. Apa tidaknya, bukan sahaja tarif itu tidak berjaya dikurangkan, bahkan makin meningkat. Di manakah keberhasilan misi diplomasi yang diuar-uarkan itu?

“Kerajaan perlu menjawab apakah langkah seterusnya? Jika lawatan sebelum ini langsung tidak membawa manfaat, adakah kerajaan bercadang untuk ‘melancong’ ke AS sekali lagi atas nama diplomasi?

“Rakyat tidak mahu melihat pemimpin hanya berbelanja besar atas nama hubungan luar, tetapi gagal membawa pulang apa-apa hasil,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan tidak membuat keputusan yang membelakangkan realiti ekonomi semasa.

“Dengarlah suara rakyat yang semakin terhimpit akibat keputusan-keputusan ekonomi yang tidak berpaksikan realiti rakyat marhaen.

“Kenaikan tarif ini ialah satu lagi tamparan hebat kepada ekonomi negara dan ia berlaku bukan semata-mata kerana tekanan luar, tetapi kerana kelemahan rundingan serta kegagalan kerajaan membaca arah angin geopolitik global,” katanya.

Terdahulu, Trump mengumumkan, kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos, melibatkan barangan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan dengan kadar berbeza dikenakan ke atas negara lain.

Malaysia dikenakan kadar tetap 25 peratus, sama seperti Jepun dan Korea Selatan, manakala Kazakhstan turut menerima kadar sama.

Kadar itu juga lebih tinggi daripada 24 peratus yang pada awalnya dikenakan ke atas beberapa eksport Malaysia ke Amerika Syarikat, yang kemudiannya digantung selama 90 hari.

Afrika Selatan pula dikenakan tarif sebanyak 30 peratus, sementara Laos dan Myanmar mencatat kadar tertinggi sebanyak 40 peratus.

Trump turut memberi amaran jika mana-mana negara bertindak balas dengan menaikkan tarif terhadap produk dari Amerika Syarikat, kadar tambahan akan dikenakan di atas tarif sedia ada melebihi paras 25 peratus yang ditetapkan ketika ini. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -