Segerakan projek benteng pemecah ombak di Tg Dawai

- Advertisement -

MERBOK: Tujuh rumah di Kampung Huma, Tanjung Dawai terjejas akibat hakisan pantai semakin kritikal, dipercayai berpunca daripada kelewatan pembinaan benteng pemecah ombak yang telah dirancang sejak beberapa tahun lalu.

- Advertisement -

Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali (foto atas) berkata, projek benteng sepanjang satu kilometer dengan anggaran kos RM20 juta itu merupakan projek di bawah Kerajaan Pusat, namun masih belum dilaksanakan kerana penangguhan proses tender.

“Menurut maklumat yang saya terima daripada Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Dato’ Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, pihak JPS memaklumkan bahawa tender projek ini dijangka dibuka hujung bulan ini.

“Kita berharap kali ini ia tidak ditangguhkan lagi kerana keadaan di Kampung Huma semakin mendesak,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri sebelum ini telah mengambil langkah awal dengan melaksanakan dua projek benteng pemecah ombak secara berperingkat.

“Kali pertama sekitar tiga tahun lalu dengan kos hampir RM3 juta, dan kali kedua pada tahun lepas dengan peruntukan segera sebanyak RM200,000 selepas kejadian air pasang besar yang menjejaskan penduduk.

“Namun, benteng yang sedia ada masih belum mencukupi, kini hujung benteng menjadi laluan utama air laut masuk ke kawasan kampung, menyebabkan hakisan semakin serius,” jelas beliau.

Ustaz Hanif turut memaklumkan jarak antara garis hakisan pantai dengan jalan raya kini tinggal sekitar 100 meter sahaja, satu situasi yang amat membimbangkan.

“Kita sangat mengharapkan agar kerajaan pusat meluluskan dan memulakan projek ini dengan segera demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk Kampung Huma,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -