MB Perlis santuni mahasiswa di Selangor

- Advertisement -

BANGI: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli meluangkan masa menyantuni mahasiswa anak Perlis yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).

- Advertisement -

Turut hadir isteri beliau, Najwa Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia negeri, Ustaz Mohammad Azmir Azizan serta Pengarah Yayasan Islam Perlis (YIPs), Ustaz Noorhaamizi Mohd Yaacob.

Rombongan disambut oleh barisan akademik termasuk Dr Nasruddin Yunos, Dr Nidzamuddin Zakaria dan Prof Madya Dr Ku Suhaila Ku Johari dalam satu majlis santai di sebuah restoran, di sini semalam. (Foto atas)

Majlis yang berlangsung dalam suasana mesra itu menjadi medan perbincangan berkaitan pendidikan, kebajikan dan pembangunan insan mahasiswa.

Mahasiswa yang hadir turut meluahkan rasa teruja dapat berdialog secara langsung bersama Menteri Besar yang juga merupakan bekas guru.

“Semoga kalian terus cekal menuntut ilmu dan menjadi anak-anak Perlis yang membanggakan,” ujar Mohd Shukri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan oleh YIPs kepada Persatuan Mahasiswa Anak Perlis yang mewakili mahasiswa ketiga-tiga institusi pengajian tersebut. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -