
POKOK SENA: Isu air bertakung yang telah lama menjadi keluhan pengguna jalan raya di terowong Bukit Pinang akhirnya menemui penyelesaian tuntas susulan pelaksanaan projek naik taraf terowong yang telah pun siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Dato’ Wan Romani Wan Salin berkata, masalah yang membelenggu sekian lama itu bukan sahaja menyukarkan pergerakan penduduk, malah berisiko mengundang kemalangan terutama semasa hujan lebat.
“Saya percaya, dengan siapnya projek ini, ia akan memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya dari segi keselamatan jalan raya dan kelancaran trafik.
“Terowong ini merupakan laluan utama bagi ramai pengguna setiap hari, justeru kita amat menghargai kerjasama pihak JKR dan BDB Infra yang berjaya menyelesaikannya mengikut jadual,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Ujarnya, projek berimpak tinggi itu dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kota Setar dengan kerjasama strategik Bina Darulaman Berhad (BDB) Infra Sdn Bhd melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM175,000.
“Antara skop utama kerja yang dilaksanakan ialah penyelenggaraan jalan raya, penaiktarafan sistem saliran sedia ada serta kerja-kerja pembaikan struktur sepanjang 100 meter yang sebelum ini dikenal pasti menjadi punca utama kepada kejadian takungan air,” tambahnya.
Dato’ Romani turut menyempurnakan majlis perasmian penyiapan projek tersebut dan meluangkan masa meninjau keadaan terkini terowong berkenaan bersama Ketua Projek, Ir Isnil Badril Ismail, semalam.
Turut hadir, wakil Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena, Hasrul Abd Halim; barisan pimpinan Halwa JPrD Bukit Pinang serta pemimpin masyarakat dan penduduk setempat yang menyambut baik inisiatif itu. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











