
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim wajar meletakkan jawatan berikutan pelbagai tindakan dan keputusan beliau yang telah menyebabkan rakyat semakin terhimpit dan hidup dalam kesusahan.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, rakyat perlu bersama-sama memastikan perkara itu berlaku bagi mengelakkan negara daripada menuju kehancuran.
“Dulu beliau sebut jika mereka menang, harga minyak turun. Tapi sekarang bukan turun, tetapi naik hampir sekali ganda. Selepas ini, petrol pula akan dihapuskan subsidi. Mereka tak guna ‘hapus subsidi’, mereka guna ‘rasionalisasi subsidi’.
“Dulu beliau kata nak panggil tauke-tauke yang terlibat dengan IPP (pengeluar tenaga bebas) untuk diberikan satu cadangan bagi memastikan harga elektrik turun, tetapi berapa kali dah harga elektrik naik,” katanya
Kamaruzaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok Kelantan berucap dalam Himpunan ‘Turun Anwar’ Peringkat Lembah Pantai, di sini pada Ahad.
Pemimpin PAS Wilayah Persekutuan yang hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya, LAr Fauzi Abu Bakar dan Ketua Dewan Muslimat, Dr Rosni Adam serta Ketua Penerangan, Ustaz Mohd Suhaimi Abdul Aziz dan Ketua Pemuda, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin.
Beliau dalam pada itu turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerana sering mengumumkan pelaksanaan cukai baharu setiap kali pulang daripada lawatan ke luar negara.
“Dia pergi je luar negara, umum bilion-bilion (pelaburan), balik hapus subsidi. Ada tu tak sempat balik, umum dah cukai baharu di luar negara, tak sempat nak balik lagi. Jadi hari ini negara kita sangat-sangat kritikal.
“Negara hari ini ada macam-macam masalah. Subsidi ditarik, cukai baharu dan yang terkini krisis kehakiman. Semuanya berpunca daripada kelemahan perdana menteri dalam mentadbir negara.
“Maka nak selamatkan Malaysia pada hari ini, nak bagi subsidi dipulangkan semula cukai-cukai yang membebankan rakyat dibuang, maka satu sahaja caranya iaitu dengan menurunkan punca segala masalah negara kita iaitu Anwar,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











