
JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor menzahirkan rasa dukacita dan kekesalan amat mendalam terhadap dua kejadian mutakhir yang melibatkan penglibatan syarikat arak dalam institusi pendidikan.
Ia berikutan insiden lelongan arak di sebuah sekolah rendah di Pontian, serta penajaan konsert amal oleh syarikat arak di sebuah sekolah di Sepang.
Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz, berkata insiden-insiden itu jelas begitu mencemarkan kesucian institusi pendidikan.
Malah kata beliau, ia juga memberi isyarat yang amat berbahaya kepada generasi muda bahawa nilai agama dan akhlak boleh dikompromi atas nama tajaan dan kutipan dana.
“Berikut ialah dua kejadian yang mencabar prinsip pendidikan, Pontian, Johor (Julai 2025) lelongan arak secara terbuka diadakan di dewan sebuah sekolah rendah yang akhirnya mencetuskan kekecohan awam serta tangkapan oleh pihak berkuasa.
“Hakikat bahawa acara seperti ini dibenarkan berlangsung di kawasan sekolah adalah sesuatu yang amat memalukan dan tidak boleh diterima dalam mana-mana sistem pendidikan berteraskan nilai murni dan akhlak mulia,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kejadian kedua berlaku di Sepang, Selangor (Julai 2024) apabila syarikat arak menaja Konsert Amal anjuran PIBG di SJK (C) Tche Min, Sungai Pelek.
“Walaupun diklasifikasikan sebagai penajaan acara, paparan nama sekolah pada replika cek bernilai RM3.17 juta menimbulkan persepsi bahawa syarikat arak diberi laluan untuk mempromosikan jenamanya melalui institusi pendidikan,” terangnya.
Dewan Pemuda PAS Johor katanya, turut melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng, yang dilihat seolah-olah membela insiden lelongan arak tersebut.
“Beliau menyatakan bahawa, ‘Tiada pelajar atau guru terlibat… ia hanya acara makan malam dan kutipan dana… tiada isu utama kecuali segelintir individu mabuk.’
“Pendekatan meremehkan isu ini jelas mengabaikan sensitiviti masyarakat, seolah-olah selagi pelajar tidak terlibat secara langsung, maka segala bentuk aktiviti tidak bermoral di kawasan sekolah adalah boleh dimaafkan.
“Ini adalah satu bentuk normalisasi yang amat membimbangkan,” kesali beliau.
Menurutnya, sekolah memainkan peranan besar selain daripada tempat belajar akademik, ia adalah ruang pembentukan nilai dan jati diri generasi muda terutama anak-anak.
“Sebarang bentuk promosi budaya negatif walaupun secara tidak langsung, harus ditolak dengan tegas oleh semua pihak, khususnya wakil rakyat yang memikul amanah menjaga kebajikan pendidikan dan moral masyarakat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera mengkaji dan memperketat dasar serta garis panduan penyewaan premis dan penajaan oleh pihak luar dengan larangan jelas terhadap penglibatan syarikat arak, rokok, judi dan seumpamanya.
Selain itu tambahnya, siasatan menyeluruh perlu dibuat terhadap semua sekolah terlibat dan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak pentadbiran yang cuai dalam menjaga integriti institusi pendidikan.
“Pendidikan nilai moral dan akhlak perlu diberi keutamaan, bukan dikorbankan atas nama ‘tajaan’ atau ‘program komuniti’,” katanya.
Beliau menyeru semua pendidik, ibu bapa, masyarakat sivil dan penggubal dasar agar bangkit mempertahankan institusi pendidikan daripada terus dinodai oleh budaya yang bertentangan dengan nilai dan prinsip asas masyarakat Malaysia. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











