
GEORGE TOWN: PAS Pulau Pinang mengecam pelaksanaan cukai karbon bakal diperkenalkan kerajaan sebagai dasar yang zalim dan membebankan rakyat, meskipun dibungkus indah atas nama kelestarian alam sekitar.
Anas Soffy Abd Wahid berkata, rakyat tidak menolak usaha menjaga alam sekitar, namun tindakan kerajaan memperkenalkan cukai baharu tanpa jaminan ketelusan, jelas menunjukkan kepincangan dalam keutamaan dasar negara.
“Kita juga mahu udara dan air yang bersih, tetapi jangan tipu rakyat kononnya ini demi bumi, sedangkan duit cukai ini entah ke mana perginya,” tegas Pengarah Jabatan Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut mempersoalkan siapakah bakal mendapat manfaat sebenar daripada pelaksanaan dasar hijau ini sama ada rakyat terbanyak atau segelintir golongan berkepentingan yang memiliki akses kepada kontrak dan subsidi tenaga hijau.
“Siapa akan dapat kontrak tenaga hijau? Siapa yang bakal terima subsidi solar juta-juta? Siapa yang memiliki kilang panel suria? Golongan manakah yang mampu pasang panel suria di rumah mereka? B40 dan M40 pasti tidak mampu!” ujarnya lagi.
Anas turut mengkritik dasar pengecualian cukai terhadap kenderaan elektrik (EV) yang menurut beliau lebih banyak menguntungkan golongan T20, berbanding majoriti rakyat yang masih menggunakan kenderaan biasa dan terpaksa membayar pelbagai cukai.
“Lihat sahaja EV yang dikecualikan cukai. Siapa yang beli? T20. Kenderaan rakyat B40 dan M40 pula dikenakan pelbagai cukai. Di mana keadilannya?” soal Anas.
Beliau memberi amaran bahawa cukai karbon bukan sahaja akan menekan kos sara hidup rakyat, malah turut mengancam industri tempatan serta keyakinan pelabur asing.
“Negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia lebih cermat dalam dasar hijau mereka. Mereka nilai kesan kepada rakyat dan industri. Sementara itu, negara-negara maju seperti Perancis, Kanada dan Australia telah membatalkan cukai karbon mereka kerana ia membebankan,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan cukai karbon hanya akan melonjakkan tarif elektrik, kos pengangkutan dan harga barang, sekali gus menghimpit golongan berpendapatan rendah.
“Kalau kerajaan gagal tarik pelabur, janganlah bebankan rakyat. Kurangkanlah perbelanjaan pentadbiran, berhematlah berbelanja,” tambah Anas.
Dalam pada itu, beliau menggesa seluruh rakyat, pekerja, petani, mahasiswa dan semua golongan untuk bangkit menyuarakan bantahan terhadap cukai yang zalim ini.
“Masa depan rakyat bukan di tangan menteri yang tak faham derita rakyat. Masa depan negara di tangan kita. Bangkit rakyat! Bangkit semua anak bangsa Malaysia,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan kerajaan bahawa rakyat tidak akan berdiam diri sekiranya suara mereka terus diabaikan.
“Kalau kerajaan tidak tarik balik cukai ini, rakyat perlu humbankan mereka di PRN dan PRU akan datang. Ingatlah, Suara Rakyat Suara Keramat, Rakyat Hakim Negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











