
ALOR SETAR: Nama Tun Mahathir tidak pernah lekang dari bibir rakyat, bukan kerana jawatan atau kuasa, tetapi kerana jasa dan sumbangannya yang begitu besar kepada negeri dan negara.
Demikian antara kata-kata penuh penghargaan daripada Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah.
Pujian dinyatakannya itu adalah sempena ulang tahun kelahiran negarawan ulung negara, Tun Dr Mahathir Mohamad yang genap 100 usia tahun semalam.
Tun Dr Mahathir, anak jati dari negeri Kedah Darul Aman, bukan sekadar pemimpin yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri paling lama dalam sejarah negara.
Beliau malah merupakan arkitek pembangunan negara moden yang berani mengorak langkah jauh ke hadapan ketika ramai masih takut untuk bermimpi.
“Langkawi yang dulunya sepi, kini gah menjadi pulau pelancongan dunia hasil visi dan keberanian Tun memecahkan tembok lama,” kata Dr Haim dalam kenyataan beliau.
Tambah beliau, legasi Tun merangkumi pelbagai aspek termasuklah penggubalan Dasar Pandang ke Timur, pelaksanaan penswastaan dan pembangunan infrastruktur besar-besaran.
Serta reformasi sistem pendidikan tinggi negara yang memberi ruang kepada anak-anak desa untuk mencipta kejayaan hingga disanjung tinggi.
Katanya, walaupun Tun dikenali dengan gaya kepimpinan tegas dan kadangkala pedih dalam tegurannya, namun niat murninya demi melihat bangsa Melayu dan rakyat Malaysia terus maju dan bebas daripada kebergantungan.
“Bila sesekali Tun menegur bangsa kita dengan kata-kata pedih, ada yang terasa. Tapi jauh di sudut hati, kami tahu itu lahir dari kasih seorang ayah yang kecewa melihat anak-anaknya masih terperangkap dalam kelemahan sendiri,” ujar beliau.
Menurut Dr Haim lagi, sumbangan Tun menjangkaui sempadan negeri dan negara, apabila suaranya menjadi antara yang terkuat mewakili dunia Islam dan negara membangun di peringkat antarabangsa.
“Di belakang Malaysia yang berdiri megah di mata dunia, ada seorang anak kampung dari Kedah yang tidak pernah penat memperjuangkan bangsanya,” jelas beliau.
Sambil menyatakan rasa rindu terhadap ketegasan suara dan pendirian Tun yang tidak tunduk pada tekanan asing, Dr Haim turut menzahirkan doa agar Allah SWT mengurniakan kesihatan, ketenangan dan kebahagiaan buat Tun Dr Mahathir.
“Legasi Tun tetap hidup. Kami akan terus membawa semangatmu untuk bangkit, bekerja keras dan berjuang demi masa depan yang lebih baik untuk Malaysia dan umat Melayu seluruhnya,” katanya lagi.
Tun Dr Mahathir kini menjadi simbol perjuangan dan ketahanan dalam landskap politik dan pembangunan Malaysia, terutama buat rakyat Kedah yang sentiasa berbangga dengan jasa anak watan mereka itu. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











