
KOTA BHARU: Negeri-negeri dalam SG4 berpotensi besar untuk memajukan pelbagai sektor rakyat seperti ekonomi, kebudayaan dan pelancongan melalui kerjasama strategik antara satu sama lain.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, setiap negeri memiliki keunikan yang boleh digembleng bersama demi kepentingan rakyat.
Katanya, Kelantan misalnya kaya dengan budaya, warisan dan nilai persaudaraan yang menjadi asas penting kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi rakyat.
“Dari sudut ekonomi, rakyat Kelantan mengambil peluang berniaga dan mempromosikan produk mereka sendiri kepada pelancong. Pada masa sama, negeri ini tetap terkenal sebagai destinasi pelancongan yang memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Penggiat Pelancongan Kelantan-Terengganu: Program Silang Budaya di Gelanggang Seni, di sini malam kelmarin.
Katanya lagi, negeri-negeri dalam SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis berkongsi banyak persamaan dari segi sejarah, agama dan adat yang membolehkan kerjasama lebih erat dijalin.
“Musafir bukan sahaja membuka ruang melihat dunia, bahkan menjadikan seseorang lebih sihat dan bertambah rezeki melalui ilmu, pengalaman dan jaringan hubungan yang luas,” katanya.
Ustaz Nassuruddin turut menegaskan potensi pelancongan negeri ini sangat besar kerana turut didukung oleh sektor pertanian dan kepelbagaian makanan tradisional.
Katanya, semua kekuatan ini perlu terus dimanfaatkan melalui hubungan dua hala dan program silang budaya yang dijalankan secara berkala.
“Saya amat berharap program seperti ini diteruskan bukan sahaja di antara Kelantan dan Terengganu, tetapi diperluas hingga ke negeri-negeri SG4 dan Wilayah Selatan Thailand agar manfaatnya dirasai bersama,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama erat ini akan memperkukuh ekonomi, kebudayaan dan pelancongan serantau serta menghubungkan rakyat antara wilayah Pantai Timur dan Selatan Thailand.
“Saya menyeru agar hubungan persaudaraan ini terus diperkukuh dan diperluas kerana mereka di sana adalah sebahagian daripada kita – saudara seagama, sebudaya dan serumpun,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Kelantan mempersembahkan kebudayaan negeri menerusi persembahan dikir barat dan nyanyian dialek Kelantan oleh Megat Haiqal, anak kepada lagenda dikir barat, Allahyarham Megat Nordin.
Sementara itu, pada sebelah petang, rombongan pimpinan kerajaan Terengganu yang diketuai Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiba di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan kira-kira pukul 2.15 petang.
Mereka akan meneruskan lawatan ke Kedah dan Perlis bagi memperkukuh hubungan dengan negeri-negeri dalam SG4.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Dato’ Kamaruddin Md Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris.
Juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, Dato’ Satiful Bahari Mamat. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











