
ALOR SETAR: Program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu 2025 berlangsung meriah di ikon kebanggaan negeri Kedah, Menara Alor Setar, di sini semalam.
Kunjungan hormat delegasi Kerajaan Negeri Terengganu itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris.
Kehadiran delegasi Pantai Timur itu disambut mesra oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin, sempena kempen Tahun Melawat Kedah 2025.
Ujar Dato’ Mohd Salleh, program itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara negeri dalam mempromosikan pelancongan, kebudayaan dan warisan secara bersama.
“Pendekatan silang budaya yang harmoni dan inklusif ini diharap dapat memperkasa industri pelancongan domestik,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional ‘Mai Ceq Mai’ oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), yang memperlihatkan keunikan seni dan budaya negeri Kedah.
Sebagai simbol jalinan kerjasama, majlis turut menyaksikan pertukaran cenderamata antara kedua-dua pihak.
Delegasi Terengganu juga diberi peluang menikmati pemandangan indah Bandar Raya Alor Setar dari ketinggian 100 meter di Menara Alor Setar, menjadikan kunjungan tersebut satu pengalaman pelancongan yang istimewa.
Turut hadir, Tengku Sri Temenggong Raja Terengganu, Brig Jen Dato’ Sri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, Dato’ Saiful Bahari Mamat, bersama barisan dif kenamaan yang lain.- HARAKAHDAILY, 11/7/2025











