Lelongan arak di sekolah cemar nilai masyarakat Madani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Malaysia melahirkan rasa kesal dan dukacita yang teramat sangat dengan penyebaran berita berkaitan majlis penjualan arak secara terbuka di sebuah sekolah rendah di Pontian, Johor.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dr Ustazah Wahibah Twahir berkata, Islam sebagai agama rahmah yang telah menjadi pedoman sejak lebih 14 abad melalui al-Quran, melarang secara mutlak sebarang bentuk promosi, penjualan, pengedaran dan pengambilan arak.

“Oleh kerana ia merosakkan lima maqasid syariah utama iaitu agama, akal, nyawa, keturunan dan harta yang terkandung di sebalik pengharaman Arab di dalam al-Quran.

“Walaupun majlis ini dianjurkan oleh pihak bukan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, ia tetap menunjukkan sikap tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam dan bangsa Melayu sebagai bangsa majoriti di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, bangsa Melayu sebagai bangsa majoriti di Malaysia telah mendapat hak keistimewaan dan dilindungi dalam perlembagaan serta masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Ia juga memperlihatkan penghinaan tidak langsung terhadap kepimpinan negara yang sedang memperjuangkan agenda Madani secara holistik.

“Kejadian ini amat memalukan dan langsung tidak boleh diterima, bahkan bertentangan sama sekali dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, serta menggugat aspirasi pembinaan Masyarakat Madani yang sedang digagaskan oleh negara,” katanya.

Tambah beliau, negara masih dalam suasana menghayati Maal Hijrah bagi membawa negara ke arah kehidupan yang lebih baik.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa kerana majlis itu berlangsung di sebuah sekolah rendah di mana tempat anak-anak kecil dibentuk jati dirinya, diasuh nilai dan akhlaknya, namun dicemari oleh aktiviti yang jelas bertentangan dengan prinsip moral, peraturan pendidikan dan ajaran agama.

Justeru, beliau menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mesti tampil segera memberikan penjelasan dan kenyataan rasmi terhadap insiden itu.

“Tindakan tegas harus diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab termasuk pengurusan sekolah dan pegawai pendidikan daerah kerana membenarkan majlis seperti ini berlaku dalam kawasan institusi pendidikan.

“Prosedur operasi standard (SOP) sewaan premis sekolah kepada pihak luar mesti disemak semula dan ditambah baik agar tidak sewenangnya disalahguna.

“Seluruh warga pendidikan, para ulama, asatizah dan tokoh masyarakat diseru untuk bersolidariti menyatakan bantahan keras terhadap kejadian ini, serta menegaskan peringatan agar ia tidak berulang di masa akan datang,” katanya.

Selain itu, pihak beliau juga menyokong gesaan tokoh-tokoh pendidikan seperti Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong dan pelbagai pihak terhadap isu itu.

Rata-rata mereka senada menyifatkan peristiwa ini sebagai mencemarkan integriti dan imej pendidikan, serta memberi kesan buruk kepada murid-murid.

“Maruah institusi pendidikan mesti dipertahankan. Jangan sampai sekolah yang seharusnya menjadi medan pembentukan nilai menjadi tempat aktiviti yang meruntuh nilai insani,” katanya.

Terdahulu, majlis lelongan harga minuman keras telah diadakan di sebuah dewan sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian pada minggu lalu.

Majlis yang berlangsung itu bagaimanapun bertukar kecoh apabila sekumpulan lelaki bertindak membaling kerusi ke arah pentas kerana tidak berpuas hati dengan harga lelongan minuman keras ditawarkan penganjur.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 malam dan susulan itu, seramai 18 lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 48 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan tersebut.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Pontian telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan menahan suspek-suspek.

“Satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan berkaitan merusuh.

“Siasatan awal mendapati insiden pergaduhan tercetus apabila sekumpulan individu tidak berpuas hati dengan harga arak yang ditawarkan dalam acara lelongan dalam majlis tersebut,” katanya.

Seksyen 148 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2025

- Advertisement -