PMX tidak layak pilih hakim jika ada kes mahkamah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keraguan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli dan lapan Ahli Parlimen PKR adalah wajar.

- Advertisement -

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, RCI akan mengambil masa yang lama dan boleh dilihat sebagai kaedah melengah-lengahkan masa.

“Sedangkan isu krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PM10) dalam soal pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim lain mesti diselesaikan segera sebelum keputusan mengenai pelantikan ini dibuat.

“Disebabkan itu, cadangan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin agar PM10 bercuti dan PM Interim dilantik lebih praktikal dan boleh segera diimplementasikan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, tidak wajar seseorang yang mempunyai kes di mahkamah mempunyai kuasa untuk mencadangkan dan terlibat dalam proses melantik hakim-hakim yang akan mengadili kes-kesnya.

“Ini akan mengakibatkan krisis keyakinan terhadap PM10 boleh berjangkit kepada Institusi Kehakiman dan merosakkannya,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan krisis keyakinan terhadap PM10 semakin membesar dan meruncing, jalan yang paling baik adalah supaya PM10 meletakkan jawatan.

“Letak jawatan atau suatu usul Undi Tidak Percaya secara sulit dan bebas daripada sekatan whip dibawa ke Dewan Rakyat.

“Sekiranya Undi Tidak Percaya secara sulit dan tanpa sekatan whip ini dilaksanakan, rasanya, jika hari ini ia dibuat, esok rakyat dan negara akan mempunyai PM dan kerajaan yang baru,” katanya.

Terdahulu, Tuan Ibrahim menyifatkan desakan Rafizi Ramli serta kumpulannya supaya menubuhkan RCI hanya lanjutan kenyataan awal Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah terlebih dahulu menyatakan pendirian mengenai cadangan tersebut susulan kemelut kehakiman pada 3 Julai lalu.

Menurutnya, desakan bekas Timbalan Presiden PKR itu tidak membawa makna jika tidak disusuli keberanian untuk mendesak Anwar Ibrahim direhatkan sementara kes saman Yusoff Rawther diselesaikan.

“Malah, Rafizi serta sembilan Ahli Parlimen PKR hanya akan dilihat berprinsip jika mereka sanggup menarik balik sokongan terhadap PMX,” katanya.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan Rafizi yang dilihat janggal apabila terus mengkritik PMX atas kelemahan tadbir urus, tetapi dalam masa sama masih mengekalkan sokongan.

“Sikap ini menampakkan beliau sekadar ‘membuat bising’ untuk meraih perhatian tanpa keberanian mengambil tindakan konkrit,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2025

- Advertisement -