OPR turun: Peluang usahawan IKS teroka modal baru

Ir Ariffahmi Ab Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus disambut baik pelbagai pihak.

- Advertisement -

Ini memandangkan rata-rata yang melihat langkah itu sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor keusahawanan baharu.

Presiden Ikatan Eksekutif dan Teknokrat Malaysia (METRA), Ir Ariffahmi Ab Rahman berkata, penurunan tersebut dijangka merangsang aktiviti perniagaan dalam kalangan usahawan muda.

Terutama menurut beliau, dalam kalangan mereka yang terlibat dengan perusahaan kecil dan sederhana (IKS) di mana kini semakin berani meneroka pasaran modal.

“Penurunan OPR memberi nafas baharu kepada usahawan baharu yang selama ini bergelut mendapatkan pinjaman disebabkan skor kredit yang rendah.

“BNM wajar menyediakan lebih banyak insentif kepada pihak bank bagi memudahkan akses pembiayaan kepada golongan usahawan baharu, khususnya mereka yang baru menceburi bidang keusahawanan,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, kadar pertumbuhan perniagaan IKS dalam kalangan generasi muda terus meningkat sejajar dengan trend mereka yang tidak lagi bergantung kepada pekerjaan bergaji tetap.

Ariffahmi turut berharap langkah itu akan memberi kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), seterusnya membantu memulihkan kelembapan ekonomi akibat ketidaktentuan pasaran serta krisis geopolitik global.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan menyemak semula dasar pasaran modal negara agar lebih responsif terhadap perubahan landskap perniagaan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Ramai anak muda kini menjalankan perniagaan dalam talian melalui platform media sosial untuk mencapai kebebasan kewangan. Ini satu trend yang sedang berkembang dan tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.

Katanya, dunia kini menyaksikan peralihan secara perlahan daripada model pasaran runcit konvensional kepada e-dagang dan digitalisasi perniagaan, sekali gus memerlukan dasar lebih progresif dan inklusif.

Tambah beliau, inisiatif penurunan OPR perlu disusuli tindakan menyeluruh oleh kerajaan serta institusi kewangan bagi memastikan manfaatnya sampai kepada kumpulan sasaran, khususnya usahawan baharu yang menjadi pemacu utama ekonomi masa depan negara. – HARAKAHDAILY 11/7/2025

- Advertisement -