
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tampil segera memberikan penjelasan terbuka kepada Parlimen dan rakyat isu pelantikan Ketua Hakim Negara.
Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, turut menyeru Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat dakwaan campur tangan politik, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan bebas dan telus tanpa tekanan politik.
“Tindakan undang-undang diambil tanpa kompromi sekiranya terbukti wujud salah guna kuasa. Kita tidak boleh membiarkan institusi kehakiman dan tempat rakyat menuntut keadilan dicemari oleh kuasa politik, manipulasi atau agenda peribadi.
“Keadilan mesti ditegakkan bukan hanya untuk rakyat biasa, tetapi terhadap mereka yang memiliki kuasa. Jika Perdana Menteri terbukti menyalahguna kuasa atau melibatkan diri dalam pencabulan prinsip keadilan, maka beliau wajib bertanggungjawab dan berundur secara bermaruah,” katanya.
Nuridah turut memandang serius kenyataan terbuka yang dibuat oleh bekas Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli, berhubung isu itu yang kini menjadi perhatian rakyat.
Beliau berkata, Rafizi secara tegas menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak boleh terus berdiam diri dan perlu tampil menjelaskan keadaan sebenar berkenaan proses pelantikan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.
“Katanya, hanya segelintir dalam kalangan 34 juta rakyat yang mengetahui apa yang berlaku, manakala ahli Kabinet sendiri tidak dimaklumkan.
“Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat pemanggilan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) secara tiba-tiba tanpa notis, isu kelewatan atau kegagalan dalam pencalonan dan kekosongan jawatan penting yang dibiarkan berlarutan.
“Semua ini telah menimbulkan spekulasi liar, persepsi negatif dan kemungkinan campur tangan kuasa eksekutif dalam badan kehakiman, sekali gus mencemari prinsip pemisahan kuasa yang menjadi asas kepada sebuah negara demokrasi,” katanya.
Beliau berkata, Rafizi turut mencadangkan agar Perdana Menteri menggunakan ruang Parlimen atau menubuhkan RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) untuk menjawab persoalan rakyat secara telus.
“Beliau juga mengakui bahawa beliau sendiri tidak mempunyai akses kepada maklumat penuh kerana perkara itu tidak dibincangkan di peringkat Kabinet. Maka, kerahsiaan yang mencurigakan ini wajar dibongkar demi memelihara maruah kehakiman negara.
“Isu ini menjadi semakin genting apabila Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor pula tampil bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan mahasiswa membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Malaysia atas dakwaan salah guna kuasa dalam proses pelantikan Ketua Hakim Negara,” katanya.
Beliau berkata, tindakan mendesak siasatan dan penahanan bukanlah satu langkah kecil, malah mencerminkan keresahan dan hilangnya keyakinan awam terhadap kebebasan sistem kehakiman.
“Lebih-lebih lagi apabila wujud maklumat bahawa Perdana Menteri sendiri masih mempunyai kes sivil tertangguh di mahkamah, sekali gus menimbulkan konflik kepentingan yang besar jika benar beliau turut terlibat secara langsung dalam pelantikan Ketua Hakim.
“Lebih memburukkan keadaan, rekod sejarah individu terbabit dalam kes penyalahgunaan kuasa turut membayangkan bahawa keresahan rakyat ini bukan dibina atas andaian kosong, tetapi berdasarkan pengalaman lampau yang menggugat institusi negara,” katanya.
Terdahulu, sembilan Ahli Parlimen PKR termasuk Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











