
KUALA LUMPUR: Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman hari ini menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, meletakkan jawatan serta-merta susulan konflik kepentingan berkaitan pelantikan hakim yang membabitkan kes peribadinya.
Gesaan itu dibuat dalam Sidang Meja Bulat ke-2 anjuran sekretariat berkenaan yang turut membincangkan kemelut kehakiman negara secara menyeluruh.
“Sekretariat mengambil maklum pelbagai kenyataan dan cadangan termasuk sembilan Ahli PKR diketuai Rafizi Ramli, kenyataan Jabatan Peguam Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi), Majlis Peguam Malaysia dan lain-lain pihak termasuk masyarakat sivil,” katanya.
Sekretariat juga merujuk kepada kenyataan Istana Negara bertarikh 10 Julai semalam yang memperingatkan semua pihak supaya menghormati proses dan integriti pelantikan hakim-hakim.
“Sekretariat mengingatkan semua pihak bahawa isu pokok adalah posisi Perdana Menteri yang kini tidak boleh dipertahankan. Beliau dalam konflik kepentingan kerana kes peribadinya,” jelas kenyataan itu.
Menurut sekretariat, Perlembagaan Persekutuan menyatakan hanya Perdana Menteri mempunyai peranan menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim, dan nasihat itu hendaklah didengar serta diikuti oleh Agong.
“Kes peribadi yang dihadapi Perdana Menteri masih belum selesai. Kes berkenaan berada di tahap Mahkamah Rayuan dan mungkin akan ke Mahkamah Persekutuan. Ia akan didengar di hadapan hakim-hakim yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri,” terangnya.
Sekretariat turut menyatakan bahawa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Khas Parlimen adalah tidak memadai kerana mekanisme itu masih berada dalam kawalan Perdana Menteri, termasuk dari segi terma rujukan.
“Permohonan kekebalan yang diminta oleh Perdana Menteri adalah tidak berperlembagaan. Ia melebihi keistimewaan Raja-raja Melayu dan kekebalan sebegini tidak wujud dalam Perlembagaan mahupun undang-undang negara,” ujarnya.
Sekretariat turut merujuk Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong menggunakan budi bicara tanpa nasihat Perdana Menteri untuk memanggil Majlis Raja-raja jika hak keistimewaan Raja-raja tergugat.
Sehubungan itu, Sekretariat memutuskan bahawa resolusi terdahulu yang meminta Perdana Menteri bercuti daripada jawatannya sehingga kes peribadinya selesai di mahkamah tidak lagi terpakai.
Menurutnya, resolusi terkini adalah Perdana Menteri mesti meletakkan jawatan serta-merta atas konflik kepentingan dalam pelantikan hakim yang tidak dapat dipertahankan.
Sekretariat turut marafak sembah memohon agar Yang di-Pertuan Agong, menurut budi bicara di bawah Perkara 40(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Ia jelasnya, Perkara 40(2)(c) itu memperkenankan untuk memanggil dan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang khusus membincangkan keistimewaan.
“(Termasuk) kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, serta mempertimbangkan tindakan yang wajar dalam mesyuarat tersebut. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











