Tragedi Putra Height: Nama ‘lesap’, siapa lindungi pemaju?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Beberapa fakta penting berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu dipercayai tidak dilaporkan, disembunyikan atau ditiadakan dalam laporan siasatan rasmi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, laporan yang dikeluarkan pada 30 Jun itu sama sekali tidak menyentuh pihak pemaju yang terlibat dalam projek pembangunan kawasan terlibat.

“Pemaju perumahan yang buat projek rumah kedai disebelah paip PETRONAS dan kemudian membuat projek paip kumbahan merentangi paip PETRONAS adalah Syarikat Hong & Hong Homes Sdn Bhd.

“Mereka pula lantik kontraktor Pinterest Ventures Sdn Bhd yang pada ketika membuat permohonan dengan KUSEL (Koridor Utiliti Selangor) dan MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya), laksana kerja pengorekan jalan dan sehingga hari ini dalam tindakan tatatertib oleh CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia),” katanya.

Jelas beliau, Hong & Hong Homes dimiliki sepenuhnya oleh Van Van Groups Sdn Bhd yang terdiri daripada tiga pemegang saham iaitu Ngo Rit Woon, Hong Tuan Hwa dan Hong & Hong Lands Sdn Bhd.

Walau bagaimanapun, beliau mendedahkan Hong & Hong Lands telah menukar nama kepada JH Elite Sdn Bhd pada 24 April selepas insiden itu dan kini dimiliki oleh Tan Sze Kuan serta Hong Tuan Hooi.

Sementara itu katanya, Pinterest Ventures Sdn Bhd pula dimiliki oleh Lim Kuok Soon, Lee Kam Hung dan Chiew Siew Leong yang masing-masing memegang 33.33 peratus saham syarikat.

“Mereka inilah yang membuat kerja tanah pada 30 Marc 2025 seperti yang didedahkan oleh ‘dashcam’ penduduk. Malah ada rakaman pengguna jalan raya mendedahkan kerja tanah telah menceroboh dalam kawasan ROW (rizab jalan).

“Tapi laporan dibentangkan kata tiada kerja tanah dalam kawasan ROW. Persoalan yang timbul, langsung tak dipetik syarikat-syarikat ini. Apa punya kabel fiber optik mereka ini pakai sampai sekalipun tak disebut nama,” sinisnya.

Beliau turut mengimbas kembali beberapa soalan yang pernah ditanya sebelum ini, antaranya mengapa KUSEL dan MBSJ telah meluluskan permit korekan kepada Pinterest Ventures Sdn Bhd walaupun syarikat tersebut sedang dikenakan tindakan tatatertib.

“Surat kelulusan permit korekan dari KUSEL kepada pemaju menyatakan tempoh permit sehingga 8 Januari 2025. Kenapa mereka boleh buat kerja tanah sehingga 30 Mac 2025? Dalam Garis Panduan Kemudahan Utiliti dan Pengalian Jalan Selangor 2022.

“Pegawai KUSEL dan MBSJ sepatutnya memantau kerja yang pengorekan jalan. Adakah Pegawai KUSEL dan MBSJ memantau dan apa tindakan mereka apabila kontraktor menceroboh masuk ROW?” soalnya.

JKKP sebelum ini mendakwa keadaan tanah di bawah paip yang lemah dan tidak menyokong sepenuhnya struktur paip merupakan punca bagi insiden kebocoran dan kebakaran paip gas yang berlaku sekitar 8.08 pagi.

Hasil siasatan turut mendapati paip gas tersebut memenuhi semua spesifikasi teknikal yang ditetapkan, namun bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah yang menyebabkan paip berada dalam keadaan ‘unsupported segment’. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -