Kita bawa politik ikhlas, politik penyelesaian – Dr Aliakbar

Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

SEPANGGAR: Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata politik ‘Berprinsip, Aman, Ikhlas dan Konsisten’ (BAIK) merupakan misi serta objektif di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.

- Advertisement -

“Saya akan bawa politik yang sangat berprinsip dalam perjuangan ini, iaitu yang hak kita kata hak, yang salah kita kata salah.

“Apabila ditanya tentang isu video rasuah, ini isu panas. Jawapannya sangat mudah, pemberi rasuah mesti dihukum, penerima rasuah juga mesti dihukum.

“Selagi mana tidak dijatuhi hukuman, kita tidak boleh katakan dia bersalah,” katanya ketika berucap pada satu majlis di Kampung Boronuon, kelmarin.

Menurut ADUN Dilantik itu lagi, pendekatan politik aman akan menggantikan citra politik Sabah yang selama ini seolah-olah digambarkan sebagai huru-hara, porak-peranda dan saling menyalahkan.

“Kita bawa politik ikhlas. Saya tidak mahu menyebut keburukan parti atau calon lain. Kita bawa politik penyelesaian. Apabila ada orang susah, kita akan bantu.

“Saya akan bawa pendekatan yang konsisten. Kita beriltizam sungguh-sungguh. Perhatikan saya dan tugas saya, kerja yang kita lakukan. Susah macam mana pun, kita akan konsisten bantu dan santuni rakyat,” ujarnya.

Dr Aliakbar turut menyatakan komitmennya untuk berusaha sedaya upaya menyantuni rakyat, walau di mana mereka berada dan apa jua permintaan yang disuarakan. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -