
BACHOK: Sebanyak 20 cerucuk konkrit menjadi komponen struktur penting dalam pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Pantai Senok, Bachok dan Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa.
Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Ustaz Harun Ismail berkata, jambatan sepanjang 1.224 kilometer itu juga dibina 17 meter lebih tinggi berbanding Jambatan Tok Bali Pasir Puteh.
Beliau berkata, projek yang menelan belanja kira-kira RM58 juta itu bakal menjadi pemangkin sektor pelancongan khususnya ‘Pulau Nami’ Kampung Pantai Senok dan Kemayan Beach Resort (KBR).
“Kos ini termasuk semua sekali, pengambilan tanah dan sebagainya, dia akan buat 20 batang konkrit jambatan atas darat dan dalam sungai, dimaklumkan sebatang tu dapat siap dalam seminggu.
“Jambatan ini dia lebih tinggi dari Jambatan Tok Bali dari segi ketinggian, cuma lajak dia mula dari bawah lagi, Jambatan Tok Bali tu dia naik macam naik bukit, dia tidak lajak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat oleh Jurutera Jajahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Zainuddin Yusoff serta meninjau tapak projek di Kampung Pulau Gajah di Pengkalan Chepa.
Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman dan ADUN Jelawat, Zameri Che Nawang dan pimpinan masyarakat termasuk penghulu dan kakitangan JKR Jajahan Bachok.
Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bachok itu berkata, pihaknya turut dimaklumkan perkembangan projek itu kini sudah mencecah 27 peratus sehingga bulan Jun lalu dan dijangka siap pada Februari 2027.
Beliau berkata, apabila siap kelak kemudahan tersebut dapat mengurangkan kesesakan jalan raya di Kampung Kota Jembal dan persimpangan Raja Sakti ke jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa.
Selain itu kata beliau lagi, ia juga dapat mengurangkan masa perjalanan untuk ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dan juga Kota Bharu sehingga 30 minit bagi penduduk di Bachok.
“Insya-Allah bila siapnya projek ini boleh memberi kemudahan masyarakat di situ, dapat mengurangkan kesesakan di Jambatan Pok Nik Loh, Kampung Kota Jembal, Kampung Pulau Melaka dan Panji.
“Penduduk di sini boleh dapat ‘direct’ akses ke LTSIP, walaupun selepas Kampung Pulau Gajah tu tiada lagi cadangan memperbesarkan jalan, dia masih lagi kecil, jalan kampung,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2025











