DPRK beri impak kecemerlangan pelajar Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kecemerlangan para pelajar Kelantan dalam peperiksaan awam SPM, STPM dan STAM tahun 2024 membuktikan kejayaan pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) yang digerakkan kerajaan negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pencapaian ini mencerminkan keberkesanan dasar tersebut.

Terutama katanya, dalam melahirkan pelajar berakhlak mulia, beriman dan cemerlang dalam akademik serta mampu menjadi pemimpin masa depan ummah.

“Dengan pencapaian ini, kita berharap pelajar mampu menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan masa depan mereka,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM 2024 yang berlangsung di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjung.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan akademik bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada kehidupan yang menuntut keazaman dan kesungguhan lebih tinggi untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.

Menurutnya, majlis penganugerahan itu juga merupakan simbol penghargaan kerajaan negeri terhadap kejayaan pelajar serta bukti kesungguhan memartabatkan bidang pendidikan di Kelantan.

Dalam majlis berkenaan, seramai 1,301 pelajar diraikan berbanding 1,200 orang pada tahun sebelumnya, di mana setiap pelajar menerima insentif tunai RM500 sebagai tanda penghargaan.

Bagi SPM, seramai 703 pelajar dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), 195 dari YIK, 165 dari MRSM dan 25 dari sekolah swasta menerima anugerah dan bagi STAM pula, 48 penerima dari YIK dan tiga lagi dari luar negeri turut diraikan, serta seramai 163 pelajar bagi kategori STPM turut diberikan penghargaan.

“Selagi mereka anak Kelantan, kita akan terus beri pengiktirafan.
Bahkan pelajar luar yang menuntut di negeri ini pun kita raikan,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri terus komited menyokong pembangunan pendidikan melalui pelbagai inisiatif khususnya di bawah Yayasan Islam Kelantan.

Antaranya jelas beliau, termasuklah program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) yang dilaksanakan secara percuma di semua 45 DUN di negeri ini di mana memberi impak besar kepada kejayaan SPM tahun lalu.

“Alhamdulillah, sambutannya sangat baik dan insya-Allah kita akan teruskan dengan penambahan peruntukan untuk setiap DUN,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga memperkenalkan inisiatif baharu iaitu e-Tuisyen Rakyat dengan kerjasama Telekom Malaysia yang khusus untuk pelajar tahfiz bagi memastikan mereka turut mencapai kecemerlangan akademik.

Beliau berkata lagi, kejayaan pelaksanaan program ini adalah hasil sinergi antara agensi kerajaan seperti YIK, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) dan Institut Latihan Darulnaim (ILDAN).

Semua agensi ini berperanan memastikan pendidikan berkualiti sampai kepada semua lapisan rakyat.

“Kita tidak akan membiarkan mana-mana pelajar tercicir daripada arus pendidikan. Ini bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap masa depan anak-anak Kelantan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -