
ALOR SETAR: Seramai lebih 50 penerima dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu menerima pelbagai bentuk bantuan daripada Kerajaan Negeri Kedah dalam satu program agihan kelmarin.
Program tersebut dilaksanakan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Muhammad Radhi Mat Din serta Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Antara bentuk bantuan diagihkan termasuklah sumbangan peralatan perniagaan untuk membantu anak muda dan usahawan kecil, bantuan peralatan perubatan pesakit serta warga emas, bantuan pembaikan rumah akibat ribut, dan insentif i-BAKIPT kepada mahasiswa baharu dari negeri Kedah.
Menurut Muhammad Radhi, inisiatif itu merupakan komitmen berterusan pihaknya bersama kerajaan negeri untuk terus berkhidmat dan membantu rakyat tanpa mengira waktu.
“Selagi diberi amanah, selagi itulah kami akan pastikan rakyat Alor Mengkudu sentiasa terbela,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, program Ziarah Kasih Alor Mengkudu turut diteruskan ke beberapa lokasi seperti Alor Sekawan dan Titi Haji Idris dengan matlamat menyantuni warga yang uzur dan memerlukan perhatian.
“Kami mai ziarah sambil tanya habaq (khabar). Alhamdulillah, rasa seronok apabila melihat senyuman terukir di wajah mereka yang diziarahi,” kata beliau.
Tambahnya, doa sentiasa dipanjatkan agar Allah SWT mengurniakan kesihatan, kekuatan dan ketenangan buat seluruh warga Alor Mengkudu yang sedang diuji dengan kesakitan atau kelemahan.
Beliau turut berharap agar seluruh petugas dan pimpinan diberi kekuatan untuk terus berbakti kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 10/7/2025











