
PADANG BESAR: Kerajaan Negeri Perlis sentiasa cakna kebajikan masyarakat Siam dengan beberapa program dijalankan menerusi beberapa tindakan dan pendekatan yang dilakukan.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Mustaqim Abdullah sendiri turun padang mewakili pemimpin itu dalam menyantuni warga emas masyarakat Siam.
Antaranya dengan menyampaikan sedikit sumbangan barangan dapur dalam program Ziarah Kasih di Kampung Belukar Lenga, Kubang Tiga dan berakhir di Kampung Air Timbul, Batu Bertangkup, di sini kelmarin dahulu.
Program yang turut disertai Pegawai Khas Menteri Besar, Som Bun Lat disambut oleh Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kubang Batu, Chai Chan.
Turut serta Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Belukar Lenga, Thawat Bun Lat.
“Sumbangan ni (ini) taklah terlalu besar tapi ianya tanda ingatan Menteri Besar kepada warga emas di sini” kata Mustaqim Abdullah ketika dihubungi.
Masyarakat Siam walaupun merupakan minoriti terkecil di negeri ini, tetapi mereka merupakan warganegara Malaysia yang sejak bergenerasi sebelum merdeka lagi menetap di sini.
Etnik tersebut turut ada di kebanyakan negeri dengan hidup di desa mengekalkan tradisi kaum dan pegangan kuat kepada agama Buddha- HARAKAHDAILY 10/7/2025











