Kampung Melayu diusir keluar dari Pulau Pinang?

Iszuree melihat sendiri kediaman warga penduduk yang diancam pembangunan mewah
- Advertisement -

KAMPUNG Batu Uban mungkin bakal lenyap dari peta negeri Pulau Pinang dan hanya akan tinggal sebagai kenangan generasi tertentu, serta sekadar mendiam di dalam catatan sejarah.

Tanah penempatan terawal dibuka sejak tahun 1730-an itu yang mendahului kedatangan Francis Light tahun 1786, kini sedang diancam oleh pengusiran atas nama pembangunan.

Selama ini, sejarah penting Kampung Batu Uban dilihat sengaja disenyap dan diabaikan walaupun wujud permintaan untuk mengangkatnya supaya diwartakan sebagai warisan negara.

Sedangkan banyak peninggalan penjajah khususnya yang terdapat di sekitar Georgetown diberi pengiktirafan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Menobatkan si penjajah selaku ‘pembuka’ yang berjasa dan menjulang ikon asing itu sebagai kemegahan, jelas merupakan satu ‘campur tangan’ serta penipuan sistematik dan bermotif.

Tidak lain tidak bukan, ianya demi menutup hakikat dan kebenaran serta menghapuskan ‘bukti’, kerana Kampung Batu Uban itu bermula serta wujud bernuansakan Melayu dan Islam.

- Advertisement -

Warga tidak dibela kerajaan

Terkini, penduduk jati yang merupakan waris generasi awal dan dilahirkan serta membesar hidup di kampung tersebut telah diberikan notis agar sedia berpindah keluar dari kediaman mereka.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ketika diminta mengulas isu itu sekadar menunjukkan reaksi bersahaja yang seolah-olah tidak kisah seandainya perkara tersebut terjadi ke atas penduduk.

Sedangkan selaku pemerintah, kerajaan negeri sepatutnya bertindak mempertahan dan mengekalkan sejarah penting, serta menjamin penempatan dan kesejahteraan hidup warganya.

Pada tahun 2012 dahulu, sekitar 40 keluarga penduduk di situ telahpun keluar dengan dijanjikan pemberian pampasan oleh pemaju ke atas binaan rumah kediaman yang terpaksa mereka tinggalkan.

Namun, tanah yang berkali-kali bertukar pemilik itu, menyebabkan penduduk terbabit kekal terpaksa meneruskan bayaran sewa di rumah sementara tanpa mendapat pampasan dijanjikan.

Pengalaman itu menjadi ‘pengajaran’ berguna kepada kira-kira 17 keluarga penduduk yang masih mendiami di Kampung Batu Uban agar situasi serupa tidak berulang menimpa mereka.

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid sehubungan itu menemui wakil penduduk terbabit mendengar sendiri secara langsung keluhan.

Antara wakil penduduk yang hadir dalam pertemuan tersebut adalah Martini Saad, Mohd Zahid Abdul Razak, Zainol Abu Bakar Rashid Mohd Said dan beberapa orang lagi. (Foto bawah)

Mahu rumah ganti yang wajar

Mereka menyuarakan, sekiranya rumah diambil dan terpaksa keluar, maka rumah ganti yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik tidur dan dua bilik air mesti diberikan.

Malah penduduk tersebut mahu kediaman ganti sekiranya diberi, tetap berada di sekitar Batu Uban juga, kerana di tanah itulah bermula hidup mereka selama ini dan generasi terdahulu juga dikuburkan di situ.

Seandainya pihak berkenaan menawarkan pampasan, mereka mahu agar kadarnya selari dengan harga semasa rumah kediaman di situ, di mana rata-rata unit kediaman dibangunkan adalah sekitar RM500,000.

Usaha rakan-rakan penduduk terdahulu memohon unit rumah kediaman dibangunkan kerajaan negeri juga gagal masuk senarai, malah ditawarkan pampasan jauh terlalu rendah bagi yang berpindah.

Tetapi kesali mereka, sehingga kini tiada perbincangan dilakukan pihak pemilik tanah mahupun kerajaan negeri dengan penduduk menyebabkan mereka terasa terumbang-ambing.

Sedangkan selama ini mereka menduduki tanah tersebut tanpa pernah culas membayar segala cukai yang dikenakan dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sosial kehidupan.

Nasib seumpama juga menimpa penduduk di Permatang Tepi Laut di mana terdapat 25 keluarga yang telahpun diberi isyarat supaya keluar daripada tanah mereka sedang duduki ketika ini.

Namun, tiada sebarang tawaran sedia diberikan kepada mereka baik rumah kediaman ganti mahupun pampasan wang tunai atau janji pembayaran sewa rumah.

Hadir dalam pertemuan bersama Iszuree dan Anas ketika itu adalah wakil penduduk antaranya Nasbah Jusoh, Suhaidi Nayan, Salim Osman dan beberapa lagi.

Masa depan kabur

Menurut mereka, terdahulu 64 keluarga telahpun berpindah keluar dengan sebahagian besarnya menerima unit rumah kediaman ganti di K-Park Balik Pulau.

Tetapi 25 keluarga yang rata-rata mereka adalah nelayan dan masih tinggal di situ pula langsung tidak mendapat perhatian sewajarnya untuk meneruskan kehidupan selepas ini.

Pelbagai tekanan telah diberikan sebelum ini antaranya dinaikkan bayaran menduduki tanah hingga pada kadar begitu tinggi yang tidak selari dengan pendapatan mereka.

Penduduk di Permatang Tepi Laut ini belum sepakat memuktamadkan tuntutan mereka, tetapi yang pasti mereka mahukan jaminan sekurang-kurangnya unit rumah kediaman ganti.

Sebagai kaum nelayan, sudah tentu tiada tempat lebih sesuai melainkan berhampiran laut yang bukan sahaja untuk kelangsungan kehidupan, tetapi juga sumbangan hasil laut mereka kepada negeri.

Dua kampung ini hanya mewakili sebahagian daripada banyak kawasan kependudukan lain di pulau ini yang dilihat begitu ‘dicemburui’ pihak tertentu untuk segera dimaju bangunkan.

Tetapi hakikatnya menjadi pengusiran halus terutama ke atas orang Melayu sebagaimana beberapa kampung tradisi yang telahpun pupus lenyap di Pulau Pinang atas nama pembangunan.

Ironinya, tragedi malang ini berlaku ketika Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) belum pun dibentangkan di Parlimen, namun sudah menjadi racun dan senjata yang mengancam rakyat hingga membengkak bantahan.

Sepatutnya, akta baharu akan mendukung ketamadunan, memenuhi keperluan dan mewujudkan keseimbangan, serta menjamin dan mensejahterakan kehidupan rakyat. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -