Sukan eratkan silaturahim warga PBT Kedah

- Advertisement -

BALING: Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah 2025 menjadi medan mengukuhkan semangat persaudaraan dan kerjasama antara warga PBT seluruh negeri.

- Advertisement -

Majlis penutup kejohanan yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Majlis Daerah Baling malam tadi disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa semangat kesukanan mampu menyatukan seluruh warga kerja PBT meskipun mereka bertugas dalam bidang kuasa dan pentadbiran yang berbeza.

“Walaupun bekerja di PBT berlainan, sukan dapat menyatukan kita, mengeratkan silaturahim dan saling mengenali satu sama lain,” ujarnya pada sukan yang menghimpunkan penyertaan 12 PBT di bawah satu bumbung.

Menurut beliau lagi, sukan bukan sahaja mendorong kecergasan fizikal, malah memupuk nilai murni seperti disiplin, kesungguhan dan semangat berpasukan.

“Kita galakkan semua peserta beri yang terbaik, ‘push to the limit’ dalam setiap acara yang disertai. Bila kita sertai sukan, kita bermain untuk menang, tetapi yang lebih penting ialah semangat kebersamaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan menjaga keseimbangan antara minat bersukan dan tanggungjawab kerja.

“Kita galakkan bersukan, tetapi jangan sampai mengabaikan tugas hakiki. Gunakan masa rehat atau selepas waktu kerja untuk aktiviti sukan, bukan pada waktu kerja,” jelas beliau.

Kejohanan yang berlangsung selama empat hari sejak 6 Julai itu menyaksikan 12 PBT dari seluruh negeri bertanding dalam sembilan jenis acara sukan.

Antara PBT yang terlibat termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Majlis Perbandaran Kulim dan Majlis Daerah Pendang.

Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dinobatkan sebagai johan keseluruhan Kejohanan Sukan PBT Kedah 2025, sekali gus membuktikan keunggulan mereka dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

Turut hadir memeriahkan majlis penutup ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi turut memaklumkan bahawa kejohanan ini akan diteruskan dua tahun lagi dengan peruntukan yang akan ditambah bagi memastikan penganjurannya lebih meriah dan berimpak tinggi. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -