
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan telah menyalurkan hampir RM9 juta kepada 17,689 pelajar cemerlang menerusi Program Anugerah Kecemerlangan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2006.
Bagi tahun ini sahaja, seramai 1,301 pelajar yang menduduki peperiksaan utama negara pada 2024 menerima sumbangan berjumlah RM650,500 daripada kerajaan negeri.
Anugerah tersebut melibatkan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di bawah aliran Kementerian Pendidikan Malaysia.
Menteri Besar berkata, sumbangan tersebut bukan sekadar inisiatif tahunan semata-mata, tetapi simbolik penghargaan kerajaan negeri bagi memastikan kecemerlangan pelajar diraikan dan dijadikan inspirasi kepada generasi lain.
“Kerajaan Negeri meletakkan matlamat untuk melahirkan insan cemerlang yang mempunyai akidah yang kukuh, ibadah yang soleh dan akhlak yang terpuji, selain daripada kecemerlangan akademik,” ujar beliau.
Dato’ Panglima Perang Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2024 di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong.
Mengulas lanjut, beliau berkata agenda tersebut dilaksanakan melalui Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) dan Program Budaya Komuniti Rabbani Kelantan (K-RABB) di setiap peringkat.
“Insya-Allah, usaha ini akan membuahkan hasil yang besar kepada pembangunan agama dan negeri Kelantan yang kita cintai,” katanya.
Menurut beliau lagi, asas kejayaan seseorang Muslim ialah gabungan antara kesempurnaan akidah, syariat dan akhlak yang semuanya perlu digarap melalui proses pendidikan.
Tambah beliau, sejak pelaksanaan dasar “Membangun Bersama Islam” pada tahun 1990, kerajaan negeri telah meletakkan pendidikan sebagai pelaburan terpenting dalam membangunkan negeri.
“Sesungguhnya kemajuan dan pembangunan yang ingin dicapai perlu bertonggakkan keberkesanan sistem pendidikan yang berteraskan wahyu Allah SWT,” tegas beliau.
Majlis penyampaian anugerah hari ini turut dihadiri oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan Mufti Negeri Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamad.
Juga Ketua Hakim Syarie Kelantan, Dato’ Ibrahim Deris dan Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad serta Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Zulkifle Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 10/7/2025











