Lelongan arak di sekolah: KPM tak bertegas, lewa?

Wan Hasrina Wan Hassan.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didesak agar mengambil tindakan segera terhadap semua pihak terlibat dalam penganjuran aktiviti lelongan arak yang berlangsung di sebuah dewan sekolah rendah di Johor, baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan berkata, tindakan tersebut jelas melanggar Pekeliling KPM dan mencemarkan institusi pendidikan negara yang sepatutnya menjadi tempat mendidik anak bangsa.

“Lebih mengecewakan program ini turut dihadiri dan dirasmikan oleh seorang Ahli Dewan Negeri. Berlaku juga insiden pergaduhan dan baling kerusi sehingga melibatkan kes polis,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut mengimbas kembali insiden penajaan arak yang berlaku di sebuah sekolah di Selangor tahun lalu yang juga melibatkan kehadiran wakil rakyat dan seorang Timbalan Menteri, namun tidak ditangani secara tegas oleh KPM.

“KPM tidak boleh memandang remeh dan mengambil lewa isu seperti ini. Kita tidak mahu lagi melihat arak masuk ke sekolah dan mencemarkan institusi yang sepatutnya mendidik anak bangsa bukan membawa budaya negatif kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, tular satu insiden di mana kekecohan berlaku apabila sekumpulan lelaki membaling kerusi ke arah pentas, dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan harga arak yang dilelong dalam satu majlis makan malam amal.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.30 malam dan susulan itu, seramai 18 lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 48 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan tersebut.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Shofee Tayib dilaporkan berkata, empat individu telah mengaku bersalah dan didenda RM700 setiap seorang atas kesalahan menyebabkan pergaduhan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Sementara empat belas lagi individu dibebaskan dengan jaminan dan tiada tindakan diambil terhadap penganjur. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -