SST: Suara MP DAP dilihat lebih memihak tauke

Ahli parlimen kerajaan sendiri pun mula marah

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Kerajaan dilihat gagal menyelaras pentadbiran apabila Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng daripada DAP sendiri mengkritik pelaksanaan cukai SST sebanyak 10 peratus terhadap kertas A4 bermula 1 Julai lalu.

- Advertisement -

Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Kawasan Johor Bahru dalam satu kenyataan berkata, kritikan tersebut merupakan satu ironi kerana ia datang daripada seorang wakil rakyat yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan sendiri.

“Sebagai komponen di dalam kerajaan, perkara ini sepatutnya dibangkitkan sebelum pelaksanaan lagi. Bukan dah jalan baru nak berbunyi. Situasi ini memperlihatkan seolah-olah tiada penyelarasan, tiada komunikasi dalaman.

“Dan yang paling ketara tiada tanggungjawab kolektif dalam kalangan parti-parti komponen kerajaan sendiri. Kenyataan itu dilihat jelas bukanlah bertujuan untuk menjaga rakyat kebanyakan,” katanya.

Malah, tambah kenyataan itu, cadangan Lip Eng untuk memberikan tempoh peralihan dua hingga tiga bulan sebenarnya lebih memihak kepada tauke dan pembekal besar yang ingin melaraskan semula harga kontrak mereka.

“Keutamaan YB (Yang Berhormat) ini bukanlah pengguna akhir seperti guru, pelajar atau rakyat biasa yang tetap akan menanggung kenaikan harga selepas tempoh cadangan itu berakhir. YB Kepong tidak perlu buat-buat garang mahukan penjelasan kerajaan.

“Dan penangguhan pelaksanaan cukai ini. Hakikatnya PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) telah gagal dalam mentadbir negara. Hakikatnya (Dato’ Seri) Anwar (Ibrahim) telah gagal dalam menguruskan negara.

“Kami mahukan YB dan DAP turun dari kerajaan! Kami mahukan Anwar turun dari jawatan PM!” tegas kenyataan tersebut.

Lip Eng baru-baru ini mengkritik keputusan kerajaan itu dengan menyifatkan ia sebagai tindakan tidak bertanggungjawab serta memberi kesan buruk kepada orang ramai dan ekonomi negara.

Menurut beliau, langkah dibuat tanpa sebarang notis awal atau perbincangan itu telah mengganggu kontrak sedia ada serta menyebabkan kerugian kepada pembekal yang kini terpaksa menanggung kenaikan kos tersebut.

Beliau turut menggesa agar tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai yang terlibat dalam merangka dasar tersebut, serta mencadangkan agar mereka diturunkan pangkat supaya merasai sendiri akibat daripada keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -