
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah (foto atas) menegaskan kebimbangan sesetengah pihak bukan Islam bahawa budaya dan tradisi mereka akan dilarang sekiranya negara ini dipimpin oleh PAS adalah tidak berasas.
Beliau berkata, kebimbangan itu sering dikaitkan dengan contoh di Kelantan seperti pengharaman persembahan Mak Yong dan Menora, namun hakikatnya tidak pernah berlaku sebarang sekatan terhadap masyarakat bukan Islam di negeri itu.
“Kalau boleh ditanya kembali kepada mereka yang takut ini, adakah pernah terbukti bahawa kita menghalau orang Cina daripada negeri Kelantan? Adakah pernah ada sekatan terhadap perayaan mereka?
“Adakah kita pernah menghalang masyarakat Tionghoa untuk berpegang kepada adat dan budaya mereka? Tentu tiada satu pun,” ujarnya dalam satu kenyataan dalam media sosial miliknya.
Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, sebab itu beliau sering mempelawa masyarakat bukan Islam, terutamanya kaum Cina, supaya datang sendiri ke Kelantan dan melihat dengan mata hati mereka akan kehidupan sebenar di negeri itu.
ADUN Panchor itu berkata, meskipun masyarakat Cina merupakan kelompok minoriti, kehidupan mereka tidak pernah diganggu.
“Kalau benar ada tekanan, tentu sudah lama mereka berhijrah keluar dari negeri ini. Tapi tidak, mereka terus kekal, dan ramai yang kaya dan berjaya di bumi Kelantan.
“Mereka tahu, dan mereka rasa sendiri bahawa pentadbiran Islam itu datang dengan keadilan untuk semua,” jelasnya.
Mengulas isu pengharaman Mak Yong, beliau menjelaskan kesenian tradisional itu lahir dalam kalangan orang Melayu Islam dan apabila dinilai tidak selari dengan ajaran Islam seperti percampuran lelaki dan perempuan, unsur pemujaan dan pemakaian tidak menutup aurat, maka Islam mempunyai kewajipan untuk memperbetulkannya.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam perkara yang bercanggah dengan hukum. Tetapi untuk masyarakat bukan Islam, mereka tidak terikat dengan peraturan syariah ini,” terangnya.
Menurutnya, sekiranya benar wujud tekanan, tidak mungkin terdapat kedai menjual daging khinzir di tengah bandar Kota Bharu atau wanita Cina bebas memakai skirt, cheongsam dan seluar pendek.
“Semuanya berjalan seperti biasa, kerana tidak ada tekanan yang dikenakan terhadap mereka,” kupasnya.
Katanya, pengharaman Mak Yong bukan bermaksud menutup ruang terhadap seni budaya, dan Tok Guru sendiri pernah menyebut ia boleh diubah suai supaya selari dengan Islam.
“Penggiat seni telah mengambil inisiatif memperbetulkan elemen-elemen yang tidak sesuai, mempersembahkan semula versi baru Mak Yong kepada pihak berkuasa agama, dan Jabatan Mufti Kelantan telah pun mengeluarkan perakuan bahawa versi Mak Yong ini boleh dipersembahkan kepada umum.
“Hari ini, persembahan Mak Yong dibenarkan semula. Kita berjaya membawa seni itu ke arah yang lebih murni.
“Ini menunjukkan bahawa pendekatan Islam bukanlah menindas atau mematikan budaya, tetapi menyucikan dan membimbingnya agar tidak bercanggah dengan akidah umat,” jelasnya.
Beliau berkata, isu peraturan berpakaian sopan dan patuh syariah juga sesekali dibangkitkan dan dianggap mengekang kebebasan, namun tiada satu pun peraturan itu dikenakan terhadap masyarakat bukan Islam.
“Sebagai contoh, tidak pernah wujud syarat dalam negeri ini yang mewajibkan orang bukan Islam untuk memakai tudung jika ingin ke pejabat kerajaan.
“Tidak pernah ada garis panduan yang mengatakan jika seseorang ingin berjumpa dengan anggota Exco kerajaan negeri, mereka mesti berpakaian seperti orang Islam. Tidak ada.
“Bahkan saya sendiri menerima kunjungan masyarakat Cina ke pejabat, ke rumah ketika hari raya, dan mereka berpakaian seperti biasa.
“Saya sambut dengan senyuman dan layanan yang sama, kerana mereka bukan Islam. Dan Islam tidak memaksa ajarannya ke atas mereka,” tegasnya.
Menurutnya, setiap negeri mempunyai peraturan dan tertib yang mesti dihormati, sebagaimana umat Islam juga menghormati adab apabila memasuki rumah ibadat masyarakat lain.
“Kalau kita masuk ke rumah orang Cina pun, kita tahu ada adab yang perlu kita hormati. Kita tak akan masuk ke tokong dengan memakai kasut, atau bercakap kuat-kuat. Itu adab kita. Begitulah dalam konteks negeri ini.
“Kehidupan akan menjadi kacau jika tiada peraturan. Maka yang paling penting ialah sikap saling memahami, saling menghormati.
“Kita juga mengharapkan agar orang luar tidak mudah terpengaruh dengan persepsi yang dibentuk oleh mereka yang tidak tinggal di sini.
“Jika mahu melihat wajah sebenar Kelantan, datang dan lihat sendiri. Anda akan temui kehidupan yang damai, walau berbeza pegangan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang mengikuti tulisan bersiri beliau.
“Setiap reaksi, baik daripada para ‘followers’ mahupun yang mungkin tidak sependapat, akan diamati dan diteliti untuk menambah nilai pada ulasan yang akan datang.
“Dengan izin Allah, saya akan teruskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2025











