Terengganu antara negeri terawal tubuh Majlis Halal

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu kini menjadi antara lima negeri terawal yang menubuhkan Majlis Halal negeri bagi memperkukuhkan pembangunan industri halal dan memudahkan urusan pensijilan di peringkat tempatan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman (foto atas) berkata, penubuhan majlis itu sudah diluluskan pada peringkat awal dan kini hanya menunggu kelulusan rasmi Mesyuarat Exco serta perasmian oleh Menteri Besar.

“Majlis Halal negeri sudah ditubuhkan dan kita sudah beberapa kali mengadakan mesyuarat serta memiliki pelan strategik sendiri.

“Bagaimanapun, beberapa perkara masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco dan Menteri Besar sebelum dapat dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kesedaran Halal Negeri Terengganu 2025 dan Penyerahan Cek TUGAS Kali kedua pada 2025 bertempat di Dewan Serbaguna YPU Terengganu, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, Terengganu kini mempunyai kira-kira 100 lebih premis yang sedang menunggu untuk berdaftar dan pihaknya menyasarkan jumlah itu ditingkatkan kepada 300 hingga 500 dalam masa dua tahun.

Selain itu, kerajaan negeri juga sedang merancang pembinaan Hab Halal atau Halal Park yang lebih terancang bagi menyokong pembangunan industri berkenaan.

“Ketika ini, kita sudah ada kawasan halal berskala kecil di belakang Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menempatkan 24 rumah kedai, selain kawasan di Chendering. Namun, kedua-duanya memerlukan penambahbaikan,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa lokasi baharu termasuk di kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) stesen keretapi untuk dibangunkan sebagai Hab Halal.

“Tanah yang dikenal pasti akan diangkat kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tujuan pembangunan dan pensijilan halal,” katanya.

Tambahnya lagi, Majlis Halal negeri Terengganu dijangka dirasmikan pada Ekspo Halal Terengganu yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

“Struktur majlis ini sudah lengkap, cuma belum diluluskan secara rasmi di peringkat Exco. Insya-Allah, ia akan dirasmikan oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Halal negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2025

- Advertisement -