22 usahawan Terengganu terima pembiayaan TUGAS

Ariffin (kupiah putih) bergambar bersama penerima surat tawaran pembiayaan Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) di Dewan Serbaguna YPU Terengganu, di sini, hari ini.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 22 usahawan Terengganu menerima surat tawaran pembiayaan Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) hari ini, melibatkan jumlah keseluruhan RM597,000.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, setiap usahawan akan menerima pembiayaan antara RM10,000 hingga RM50,000, bergantung kepada kelayakan dan keperluan masing-masing.

“Ini merupakan penyerahan surat tawaran peringkat kedua bagi tahun 2025. Saya selaku orang yang dipertanggungjawabkan dalam portfolio keusahawawanan mengharapkan semua penerima pembiayaan ini menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin.

“Jadikan ia sebagai amanah bukan hanya untuk membangunkan perniagaan tetapi juga untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kesedaran Halal Negeri Terengganu 2025 dan Penyerahan Cek TUGAS Kali kedua pada 2025 bertempat di Dewan Serbaguna YPU Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam majlis sama turut diadakan Kursus dan Bimbingan Halal yang dikendalikan oleh Dr Lokman Abd Rahman.

Menurut Ariffin, kerajaan negeri sentiasa peka terhadap cabaran yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (IKS), justeru Skim TUGAS diperkenalkan sejak 2019 melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

“Bermula tahun 2019 hingga kini, sebanyak RM29 juta telah disalurkan kepada 5,123 usahawan di seluruh Terengganu,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus mengadakan program turun padang di seluruh daerah termasuk Setiu dan Besut bagi memberi penerangan serta menggalakkan lebih ramai usahawan baharu memohon pembiayaan tanpa faedah di bawah skim TUGAS.

“Tahun ini, jumlah pembiayaan maksimum dinaikkan kepada RM50,000 berbanding RM30,000 sebelum ini kerana bilangan pemohon baharu masih rendah.

“Pinjaman ini juga tidak dikenakan faedah, malah pembayaran balik menunjukkan prestasi baik dengan kadar hampir 80 peratus,” katanya.

Beliau turut menggalakkan usahawan terutama yang berdaftar untuk hadir ke taklimat yang akan diadakan bersama pelbagai agensi termasuk inisiatif i-Suri KWSP dan program mini Sejahtera bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim pembiayaan berkenaan.

Menurutnya lagi, kursus dua hari itu bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan pensijilan halal serta membantu usahawan mempercepatkan proses mendapatkan sijil halal.

“Program halal ini bukan sahaja fokus kepada pensijilan, tetapi juga merangkumi pembangunan ekosistem halal termasuk kursus, Halal Park dan beberapa inisiatif lain.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan, khususnya usahawan sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2025

- Advertisement -