
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu pelantikan hakim yang dilihat tidak mengikut prosedur dan tatacara ditetapkan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (foto atas) berkata, isu berkenaan bukan perkara baharu, malah pernah dibangkitkan sebelum ini oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Sebenarnya, isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Rafizi itu telahpun disebut di peringkat Perikatan Nasional sebelum ini.
“Malah, sudah ada kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan lebih awal lagi, iaitu kira-kira dua minggu sebelum ini, yang menyentuh perkara sama.
“Cuma, kenyataan tersebut tidak begitu terperinci, namun beliau turut meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, banyak perkara yang berlaku pada masa ini, termasuk mesyuarat diadakan tanpa mengikut tempoh ditetapkan.
“Kerajaan perlu bertindak serius, terutama Perdana Menteri, bagi menyelesaikan isu ini supaya pelantikan hakim dapat dilaksanakan mengikut tatacara yang betul.
“Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), perkara yang paling utama sekarang ialah memastikan masalah pelantikan ini diselesaikan segera,” katanya yang juga Naib Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











