
SANDAKAN: Peluasan SST yang dilaksanakan oleh kerajaan baru-baru ini tidak selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menuntut keadilan fiskal untuk negeri-negeri di Borneo, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah, Ustaz Azman Jupri.
Menurutnya, perkara tersebut akan meningkatkan harga barangan asas dan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat yang sedia terbeban.
Katanya, Dewan Ulamak negeri menegaskan bahawa apa jua bentuk percukaian dalam negara mestilah berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan kebajikan rakyat, seiring dengan maqasid syariah.
“Penetapan harga dan cukai apabila wujud keperluan bagi mengelak mudarat adalah dibenarkan dalam syarak dengan syarat tidak membebankan rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Selain itu, ujarnya Nabi SAW juga pernah mengarahkan pengutip zakat supaya tidak mengambil harta secara zalim atau berlebihan.
Tambah beliau, pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan antaranya, mengekalkan pengecualian SST ke atas barang dan perkhidmatan asas seperti makanan ubatan, dan pengangkutan awam.
“Kami juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan mekanisme rebat SST untuk golongan B40 dan M40 agar mereka tidak terbeban,” katanya.
Beliau berkata, memastikan ketelusan penggunaan hasil cukai demi kepentingan rakyat, bukan pembaziran atau salah guna, melibatkan institusi agama dan ulama dalam menilai dasar percukaian agar selari dengan nilai-nilai Islam,” tambahnya lagi.
Oleh itu, ujarnya Dewan Ulamak PAS negeri menyeru agar kerajaan tidak tergesa-gesa dalam meluluskan apa-apa kenaikan kadar SST.
“Rakyat mesti diutamakan, kebajikan mesti dijamin dan prinsip Islam mestilah menjadi teras utama dalam setiap dasar kewangan negara,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











