
JERLUN: Sukar digambarkan perasaan sedih ketika mengimamkan solat jenazah enam beranak yang terkorban dalam tragedi lemas di Sungai Korok, semalam, demikian luah Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad.
Katanya beliau, tatkala takbir pertama diangkat, hatinya sebak menahan rasa membayangkan wajah-wajah mangsa, seorang demi seorang, suami, isteri, anak-anak kecil yang tidak berdosa.
“Hati saya bercampur baur, sedih dan hiba, ketika diminta Pegawai Masjid At-Taqwa untuk mengimamkan solat jenazah enam beranak yang mati lemas di Sungai Korok itu. Tetapi saya terima dan menganggap ini sumbangan saya untuk keluarga ini,” katanya.
Ujar Abdul Ghani, itulah detik terakhir sebagai ummah memberi penghormatan, mengiringi dengan doa dengan harapan agar Allah SWT menerima mereka sebagai hamba yang dicintai-Nya.
“Alhamdulillah ramai yang hadir. Tragedi ini cukup pilu, Pergi sekeluarga ke alam abadi, meninggalkan dunia, meninggalkan duka. Moga roh mereka tenang di sisi Ilahi.Syurga menanti dengan bahagia.
“Setiap takbir, setiap doa saya niatkan setulus hati. Moga Allah ampunkan dosa mereka, angkat darjat mereka, dan tempatkan bersama para solihin,” kata Yang Dipertua PAS Kawasan Jerlun itu, bercampur sebak.
Beliau juga mengharapkan agar satu-satunya zuriat pasangan berkenaan yang ditinggalkan, Putri Qisya Nur Izzat, dikurniakan Allah ketabahan serta kekuatan menerima ujian yang berat ini.
Jenazah enam beranak yang maut dalam kemalangan di Sungai Korok, Jitra, selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Taqwa, Kampung Jerlun pada pukul 11.50 malam tadi.
Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi,31, bersama empat orang anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan, ditemui mati lemas di Sungai Korok, pagi semalam.
Enam beranak berkenaan, sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah saudaranya, di Taman Aman, Jitra, kira-kira pada jam 5.30 pagi pada Sabtu, 5 Julai lalu. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











