Exco Kedah ziarah Putri Qisya hulur simpati, bantuan

- Advertisement -

JERLUN: Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali menziarahi Putri Qisya Nur Izzat, 12, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang terkorban bersama empat lagi anak mereka dalam tragedi lemas di Sungai Korok, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan Negeri itu hadir bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad.

Kedua-dua wakil rakyat itu menyampaikan ucapan takziah dan memberikan sokongan moral kepada anak itu serta ahli keluarganya di rumah nenek Putri Qisya di Kampung Bohor Karang, di sini hari ini.

Mereka turut menzahirkan komitmen untuk memastikan kebajikan anak yatim piatu itu terpelihara termasuk membantu keperluan semasa dan pendidikan beliau di mana difahamkan, Putri Qisya akan dijaga ibu saudaranya selepas ini.

Hadir sama dalam ziarah berkenaan ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Zakaria Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim serta ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Sementara itu, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menawarkan tajaan penuh pendidikan kepada Putri Qisya untuk melanjutkan pelajaran dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di Sekolah Zakat Kedah.

LZNK turut menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 serta kit makanan asas bagi meringankan beban keluarga.

Kesemua jenazah enam beranak tersebut telah selamat dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, di sini. – HARAKAHDAILY 8/7/2025

- Advertisement -