
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberikan penjelasan segera berhubung pengumuman Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan kadar baharu tarif terhadap Malaysia sebanyak 25 peratus.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, peningkatan sebanyak satu peratus itu menjadikan Malaysia satu-satunya negara ASEAN yang dikenakan tarif lebih tinggi berbanding tarif asal pada 2 April lalu.
“Kadar baharu tarif untuk Vietnam, Kemboja, Laos, dan Myanmar masing-masing telah dikurangkan sebanyak 26 peratus, 13 peratus, lapan peratus dan empat peratus daripada kadar asal yang diumumkan sebelum ini.
“Perkara ini menimbulkan banyak tanda tanya. Para pemimpin kerajaan sebelum ini memberi gambaran seolah-olah rundingan berjalan dengan amat baik dan positif,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, rakyat berhak mendapatkan penjelasan segera dan terperinci daripada Perdana Menteri serta Menteri Pelaburan, Perdangangan dan Industri (MITI) berhubung isu yang dianggap kritikal itu.
Justeru, beliau memohon penjelasan sama ada kadar tarif sebanyak 25 peratus itu telah ditetapkan selepas kerajaan bersetuju untuk melonggarkan dasar-dasar negara sebagai konsesi rundingan dengan AS.
“Jika ya, apakah dasar-dasar negara yang telah dilonggarkan tersebut? Adakah kerajaan akan meneruskan rundingan sehingga tarikh 1 Ogos 2025, sebelum kadar tarif baharu ini mula dilaksanakan?
“Jika ya, adakah kerajaan akan melonggarkan lagi dasar-dasar negara yang sedia ada dalam rundingan susulan? Apakah dasar-dasar yang bakal dijadikan konsesi rundingan tersebut?
“Apakah bentuk bantuan strategik dan insentif yang akan disediakan oleh kerajaan untuk menyokong sektor-sektor ekonomi yang terkesan, terutamanya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Serta peniaga yang menjalankan aktiviti eksport secara langsung ke pasaran Amerika Syarikat?” soal beliau yang juga Naib Presiden BERSATU.
Tegas beliau, kerajaan tidak boleh terus berdiam diri dan berselindung kerana penjelasan yang telus amat penting memandangkan ia akan memberi kesan terhadap ekonomi, rakyat dan masa depan perdagangan negara.
“Lebih malang lagi jika kerajaan telahpun mengorbankan prinsip dan dasar negara sebagai konsesi rundingan, namun akhirnya kita tetap menerima kadar tarif yang lebih tinggi. Keadaan ini adalah ibarat pepatah ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.
“Kami mahu membahaskan isu ini dan isu-isu rakyat yang lain di Parlimen dengan segera. Namun, sidang Parlimen yang asalnya dijadualkan pada 23 Jun 2025 telah ditangguhkan ke 21 Julai 2025.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus terhadap Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos, menjadikan satu-satunya negara ASEAN yang terlibat dengan kenaikan ini. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











