Muslimat istiqamah diraikan dalam Muktamar Dewan

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Beberapa tokoh wanita dari seluruh negeri Kelantan telah diraikan atas komitmen dan kesungguhan mereka dalam perjuangan Islam menerusi Anugerah Muslimat Istiqamah sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan Kali Ke-52 yang berlangsung di PUTIK, baru-baru ini.

- Advertisement -

Wan Ubaidah Wan Omar telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Muslimat Istiqamah Negeri Kelantan 2025 sebagai penghargaan tertinggi kepada sumbangan dan keteguhan beliau dalam medan dakwah dan perjuangan.

Wan Ubaidah pernah menjadi wakil rakyat di DUN Kijang dan Exco Kerajaan Negeri serta merupakan wanita pertama yang dilantik memegang jawatan tersebut di Kelantan.

Turut menerima anugerah ialah Rahimah Hussien dari Rantau Panjang dan Kamariah Jaafar dari Pasir Mas yang masing-masing diiktiraf sebagai penerima Anugerah Muslimat Istiqamah peringkat kawasan.

Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob yang mewakili Pertubuhan Amal Dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kerajaan Kelantan Darulnaim (PURNAMA) turut menzahirkan rasa bangga dan penghargaan kepada semua tokoh yang menerima pengiktirafan tersebut.

Menurut beliau, pengiktirafan yang diberikan membuktikan bahawa perjuangan dan sumbangan Muslimat dalam gerak kerja Islam sentiasa dihargai dan menjadi teladan kepada generasi seterusnya.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar anugerah, tetapi bukti bahawa perjuangan wanita dalam PAS sentiasa dihargai. Keteguhan, keikhlasan dan istiqamah mereka menjadi inspirasi kepada kita semua, khususnya generasi Muslimat muda yang bakal mewarisi obor perjuangan ini,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada seluruh penerima Anugerah Muslimat Istiqamah dari setiap kawasan di seluruh negeri yang turut diraikan pada majlis berkenaan.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap perasmi Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan kali ke-52. – HARAKAHDAILY 8/7/2025

- Advertisement -