
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu terus memperkukuh usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing menerusi pelbagai inisiatif strategik, termasuk menaja anak muda menjadi juruteknik pesawat bertauliah.
Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, seramai 15 anak muda ditaja oleh Yayasan Terengganu dan Yayasan Pendidikan MAIDAM mengikuti Program Latihan Persijilan Juruteknik Pesawat Bertauliah (CAAM Category A1) dengan kerjasama Batik Air.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri itu berkata, lapan peserta kohort pertama telah memulakan kursus pada Mac lalu, manakala 10 lagi dijangka memulakan latihan pada September ini.
“Jumlah keseluruhan calon yang berjaya lulus temuduga adalah seramai 18 orang. Sekiranya berjaya menjalani program ini, mereka akan mendapat tawaran kerja di Batik Air sebagai Juruteknik Pesawat Bertauliah.
“Gaji biasa bagi jawatan ini di industri RM3,500 (MAS), pihak Batik Air mengatakan akan memberi gaji yang lebih tinggi, tetapi tidak boleh mendedahkan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sulaiman Sulong (PAS-Pengkalan Berangan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau minta menyatakan inisiatif baharu dan menyeluruh yang telah atau sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan Terengganu, khususnya bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing dalam sektor ekonomi strategik.
Menurut Satiful, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Oil and Gas Wakalah Technical Programme (OGWTP) dengan kerjasama Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) dan Yayasan Pendidikan MAIDAM, melibatkan 47 peserta dalam kalangan asnaf yang telah menamatkan latihan pada Mei lalu.
“Terdapat dua bidang kemahiran teknikal yang disediakan iaitu mekanikal dan elektrik dan instrumen, di mana pelatih di kalangan asnaf dilengkapkan dengan persijilan kemahiran teknikal serta persijilan yang diperlukan oleh industri oil and gas, seperti BOSIET, AESP, OGSP dan BOFA untuk sedia berkerja selepas lulus.
“Seramai 47 orang telah pun berjaya menamatkan latihan dan berguadasi pada bulan Mei 2025. Proses penempatan pekerjaan sedang dilaksanakan melalui libat urus dengan lebih 20 pemain industri,” ujarnya.
Kata beliau, sebanyak 102 anak muda juga menyertai Kursus Latihan Certified Halal Internal Auditing Programme (CHAP) anjuran Halal Development Corporation (HDC) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) bagi melahirkan auditor halal bertauliah.
Pada masa sama, Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) bersama East Coast Rail Link (ECRL) turut ditawarkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam sektor kereta api. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











