
KUALA TERENGGANU: Persidangan ADUN Belia Terengganu bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Siri Ke-3 yang berlangsung pada Mei lalu berjaya memperkukuh peranan golongan muda dalam landskap kepimpinan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, persidangan tersebut meneruskan momentum positif daripada siri-siri terdahulu, sekali gus memperkukuh peranan belia dalam demokrasi dan tadbir urus negeri.
Katanya, antara sorotan utama yang memberi kesan langsung kepada pembinaan kepimpinan belia termasuklah aspek pendedahan dan pengalaman berimpak tinggi.
“Persidangan ini menjadi platform penting dalam memantapkan kepimpinan muda menerusi perbahasan berfakta, hujah bernas dan pembentangan usul yang menyatukan suara belia dalam dunia demokratik.
“Pembentukan generasi kompeten dan yakin diri turut menjadi teras persidangan kali ini. Para ADUN Belia diberi ruang untuk mengasah keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi dan mempersiapkan diri sebagai pelapis kepimpinan masa depan.
“Di samping itu, nilai daya fikir aktif dan penyertaan komuniti turut diketengahkan. Para peserta tidak hanya hadir sebagai simbolik, bahkan tampil aktif mengemukakan cadangan pembangunan komuniti serta isu-isu beliawanis, sekali gus memupuk kesedaran terhadap tanggungjawab sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zuraida Md Noor (PAS-Ladang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau minta kerajaan negeri menyatakan impak persidangan itu kepada kepimpinan belia di Negeri Terengganu dan apakah hasil daripada persidangan ADUN Belia sebelum ini.
Menurut Hishamuddin, persidangan itu turut diangkat sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 menerusi inisiatif strategik seperti penubuhan Akademi Al-Fateh yang memberi kesinambungan dalam pembangunan bakat belia yang proaktif dan berteraskan nilai rabbani.
Katanya, kejayaan persidangan ADUN Belia sebelum ini turut diukur melalui penilaian yang dijalankan oleh Terengganu Strategic and Integrity Studies (TSIS), dengan beberapa cadangan peserta telah diterjemahkan dalam bentuk program serta dasar pembangunan belia di peringkat negeri dan tempatan.
“Kejayaan persidangan ini tidak muncul secara mendadak. Siri-siri terdahulu dari tahun 2019 hingga 2023 telah membuktikan keberkesanan platform ini.
“Pihak TSIS telah menjalankan penilaian dan rumusan hujah peserta bagi tujuan penambahbaikan berterusan. Beberapa cadangan peserta turut diterjemahkan ke dalam program dan dasar pembangunan belia di peringkat negeri dan tempatan,” katanya.
Hishamuddin berkata, ADUN Belia perlu tampil sebagai pemimpin berfakta, bukan sekadar penyampai komentar.
“Mereka digesa turun padang, mengumpul data komuniti dan membentangkan solusi yang relevan agar tidak menjadi ibarat ‘burung kakak tua’ yang hanya mengulang kata-kata tanpa tindakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











